GALADO – Jualan Casing Phone Melonjak-Lonjak Ketika PKP

1,533

Kesukaran mencari casing yang unik dan dalam masa yang sama boleh melindungi iPhone membuatkan dua insan ini tekad untuk membuka perniagaan yang menawarkan koleksi casing iPhone secara ‘custom-made‘ mengikut citarasa pelanggan. Perniagaan mereka dikenali sebagai GALADO.

Dua insan terbabit iaitu Clement dan Sherlyn pada mulanya menyedari pilihan rekaan casing iPhone di pasaran adalah terhad dan daripada situ, mereka merancang untuk menjual casing telefon rekaan sendiri mengikut citarasa pengguna.

Ujar Clement,  produk mereka pada mulanya sukar diterima oleh orang ramai  kerana kurangnya keyakinan terhadap produk GALADO.

Jelas Clement lagi, selepas menjalankan perniagaan selama 3 hingga 5 tahun, perniagaan mereka mula diterima oleh orang ramai selepas pelanggan mula memperkenalkan produk GALADO kepada rakan-rakan serta keluarga mereka.

“Kami juga telah melabur sebanyak lebih RM100,000 untuk membeli mesin-mesin bagi tujuan penghasilan casing telefon tersendiri selain pelanggan juga boleh mengukir nama mereka sendiri pada casing tersebut supaya tampak lebih unik kepada pemiliknya, ” kata Clement ketika ditemuramah oleh pihak Intraday baru-baru ini.

Menurut Clement, kepuasan pelanggan adalah keutamaan mereka dan oleh itu, GALADO memberikan waranti berkonsep tukar ‘satu sama satu’ selama setahun kepada semua produk casing telefon mereka. Katanya lagi,  waranti itu turut meliputi kerosakan akibat kemalangan yang disebabkan oleh pelanggan secara tidak sengaja.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran percuma di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak kepada pelanggan sejak hari pertama kami memulakan perniagaan ini,” ujar Clement lagi.

 

 

Tambahnya, pengalaman paling sukar bagi beliau ketika menjalankan perniagaan adalah mendapatkan pembekal barangan yang baik kerana kebanyakannya akan meletakkan Minimum Order Quantity (MOQ) bagi setiap warna dan model casing telefon.

Situasi itu menyebabkan Clement mengalami masalah stok berlebihan dan terpaksa melaburkan wang yang terlalu banyak sebelum sebarang aktiviti penjualan dapat dilakukan.

Ketika ditanya mengenai kesukaran menjalankan perniagaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, Clement berkata, pihaknya tidak menerima sebarang tempahan dalam tempoh dua minggu pertama PKP.

Walau bagaimanapun, mereka mula menerima tempahan selepas orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu dan hasilnya, mereka mencapai nilai jualan tertinggi ketika tempoh PKP.

Pada masa hadapan, Clement menyasarkan sasaran pasaran yang lebih meluas seperti syarikat yang mahu mencetak logo atau seorang ibu yang mahu mencetak gambar keluarganya pada casing telefon.

Selain itu, Clement juga memaklumkan mereka dalam perancangan menyediakan tempahan casing kepada pelbagai jenis produk Apple lain seperti Mac, iPad dan AirPods.

 

Sebelum mengakhiri temuramah berkenaan, Clement sempat memberikan beberapa nasihat kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dan juga masih ada yang teragak-agak untuk memulakan perniagaan sendiri kerana bimbang tentang kerugian dan sebagainya.

“Lakukan apa yang anda suka, di situlah terletaknya minat anda. Jika anda suka beg tangan, jual beg tangan. Jika anda sukakan sesuatu, anda akan mempunyai minat untuk belajar dan mahu melakukan yang terbaik dalam bidang berkenaan meskipun tiada sesiapa membeli produk anda kerana anda seronok melakukannya dan itulah cara bagaimana perniagaan berkembang.

“Jangan berputus asa, jangan terlalu berharap bahawa produk anda akan terjual pada hari pertama perniagaan atau menjadi kaya pada bulan pertama perniagaan.

“Ramai terpedaya dengan cakap-cakap yang anda boleh menjadi kaya apabila menjual produk secara atas talian. Perkara itu memberikan harapan yang tinggi kepada usahawan baharu dan membuatkan mereka berfikir memulakan perniagaan adalah mudah dan jalan singkat untuk menjadi kaya dalam sekelip mata. Bagaimanapun, realitinya bukan begitu. Oleh itu, jangan letak harapan anda terlalu tinggi dan apabila produk anda tidak laris, jangan mengalah. Disebabkan faktor-faktor ini, banyak perniagaan sering ‘datang dan pergi’,” menurut Clement.

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat