Ramssol Sasar Raih RM25.1 Juta Melalui IPO

289

Syarikat penyedia penyelesaian dan teknologi pengurusan modal insan tempatan, Ramssol Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 Julai kelak, menyasar mengumpul RM25.1 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) untuk membiayai sebahagian daripada pengembangan perniagaannya ke peringkat serantau.

Ramssol berkata, daripada hasil RM25.1 juta itu, kira-kira RM2.5 juta akan digunakan bagi pengembangan perniagaannya ke Filipina.

“Sebanyak RM6.3 juta akan diperuntukkan bagi pengembangan aplikasi mudah alih penglibatan pekerja dalaman, Feet’s serta platform kolaborasi pihak ketiga, Lark di Asia Tenggara.

“Manakala RM4.1 juta akan digunakan bagi perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM7.6 juta bagi modal kerja dan baki RM4.6 juta bagi perbelanjaan penyenaraian,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan pelancaran prospektusnya secara maya hari ini.

Tambah Ramssol, IPO itu melibatkan sejumlah 78.064 juta saham terdiri daripada terbitan awam 55.76 juta saham baharu, yang mana 11.2 juta saham akan diperuntukkan bagi orang awam Malaysia dan 5.6 juta bagi pengarah, kakitangan, sekutu perniagaan Ramssol yang layak dan anak-anak syarikatnya, 38.96 juta bagi tawaran awam bagi pelabur terpilih dan tawaran jualan 22.304 juta saham sedia menerusi tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Menurut laporan Bernama, berdasarkan kepada harga IPO 45 sen, jumlah permodalan pasaran syarikat selepas penyenaraian seharusnya sekitar RM100.37 juta.

Mengenai rancangan pengembangannya ke Filipina, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ramssol, Cllement Tan berkata, syarikat itu telah mengenal pasti ruang kerja bersama di Manila dan perniagaannya akan menumpukan terutamanya untuk menyediakan penyelesaian pengurusan modal insan dan pengurusan pelajar serta aplikasi teknologi pengurusan modal insan.

“Kami menyasar memulakan operasi di sana dalam tempoh 12 bulan selepas penyenaraian,” jelas beliau.

Prospektus tersebut menunjukkan pembukaan pejabat baharu di Manila yang dianggarkan menelan kos RM2.75 juta dalam tempoh dua tahun awal operasi.

Kos itu akan merangkumi pembelian peralatan pejabat, gaji kakitangan, sewa pejabat dan kos pemasaran bagi penyelesaian pengurusan modal insan dan pengurusan pelajar serta aplikasi teknologi pengurusan modal insan, katanya.

Mengenai pengembangan Feet’s dan Lark, Tan berkata, Feet’s ketika ini tersedia di Malaysia dan Indonesia serta syarikat itu berhasrat untuk mengembangkannya ke negara Asia Tenggara lain iaitu di Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Bagi Lark pula, kami akan terus mempromosikannya di Malaysia serta di negara-negara berkenaan,” ujarnya.

Prospektus itu menunjukkan sepanjang tempoh empat tahun kewangan lepas yang berakhir antara 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2020, hasil Ramssol dijana terutamanya dari Malaysia, Singapura dan Thailand, dengan hasil terkumpul dari negara-negara ini masing-masing sebanyak 93.38%, 95.19%, 90% dan 86.72%.

“Dalam tempoh empat tahun kewangan lepas, hasil kumpulan dijana terutamanya daripada penyediaan penyelesaian pengurusan modal insan dan pengurusan pelajar dengan sumbangan hasil masing-masing sebanyak 82.42%, 81.34%, 91.14% dan 60.59%,” katanya.

Pada tahun kewangan 2020, jumlah aset syarikat berjumlah RM19.8 juta, jumlah liabiliti sebanyak RM13.0 juta, nisbah tahap kadar hutang pada 0.56 kali dan aliran tunai operasi sebanyak RM1.71 juta.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat