RBA Kekalkan Kadar Faedah Di Paras Terendah 0.25%

378

Reserve Bank of Australia (RBA) hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada paras terendah 0.25% dengan jangkaan ia akan dikekalkan di tahap yang sama untuk sementara waktu.

Pada mesyuarat polisi April, RBA telah mengundi untuk mengekalkan kadar faedah selepas menyaksikan dua kali pemotongan pada bulan lalu, dari 0.75% kepada 0.5% dan seterusnya ditetapkan pada 0.25% ketika mesyuarat kecemasan pertengahan Mac.

Melalui satu laporan yang menyusul selepas keputusan tersebut, ahli bank pusat telah menegaskan semula bahawa sasaran bagi kadar tunai dan hasil bon Kerajaan Australia tiga tahun adalah sebanyak 0.25%.

Gabenor RBA, Philip Lowe berkata bahawa terdapat banyak ketidakpastian mengenai prospek jangka pendek bagi ekonomi Australia. Hal ini akan bergantung kepada keberhasilan dalam usaha untuk membendung coronavirus.

Walau bagaimanapun, penguncupan ekonomi yang sangat besar dijangka akan direkodkan pada suku kedua bulan Jun manakala kadar pengangguran di negara itu pula diramalkan mencatat peningkatan yang ketara.

Selain itu, pasaran di seluruh dunia telah menunjukkan beberapa tanda peningkatan, sebahagiannya mencerminkan pemotongan kadar faedah yang dilaksanakan oleh bank pusat utama, termasuk Federal Reserve AS dan Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).

Di Australia, hasil bon kerajaan 3 tahun kini berada di sekitar paras sasaran yang ditetapkan oleh ahli bank pusat dan fungsi pasaran bon kerajaan juga telah bertambah baik.

Menurut Lowe, bank pusat akan melakukan apa yang diperlukan untuk mencapai sasaran hasil 3 tahun, dengan ia dijangka dikekalkan sehingga terdapat kemajuan ke arah mencapai matlamat pekerjaan penuh dan inflasi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat