Ringgit Kukuh Berbanding USD, Aktiviti Belian Kekal Dominan

88

Ringgit Malaysia (RM) dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin di tengah-tengah minat belian yang muncul semula terhadap mata wang itu sejak penutup minggu lepas.

Tepat jam 10.30 pagi tadi, ringgit meningkat kepada 4.7040 berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.7100 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata sentimen semasa dijangka kekal menjelang laporan seterusnya untuk angka inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ini.

Katanya lagi, dasar ketat monetari Federal Reserve (Fed) terus memberi sokongan ke atas dolar AS memandangkan ramalan kelonggaran monetari berkemungkinan besar tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Pegawai-pegawai Fed dijangka terus menekankan pandangan bahawa kadar faedah penanda aras perlu kekal tinggi untuk membendung inflasi bagi mencapai sasaran 2.0% seperti yang dirancang sejak tahun lepas.

Sementara itu, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.0030/0067 daripada paras 2.9996/3.0017 pada Jumaat, turun berbanding euro kepada 5.1076/1136 daripada 5.1000/1032 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.9969/6.0039 daripada 5.9859/9898 sebelumnya.

Berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.8424/8626 daripada 12.8373/8507 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.10/8.11 daripada 8.09/8.10.

Unit tempatan juga jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4883/4927 daripada paras penutup 3.4876/4901 pada minggu lepas dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 294.3/294.7 daripada 294.5/294.7 sebelumnya. – Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat