Rizab Antarabangsa BNM bernilai AS$105 bilion

238

Rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM436.5 bilion atau AS$105 bilion setakat 30 September 2020 mencukupi untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri seperti dipetik oleh Bernama, rizab negara telah menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.4 bilion berbanding AS$103.6 bilion pada akhir 2019.

“Rizab antarabangsa digunakan bagi maksud tertentu dan bukan untuk membiayai belanjawan atau membiayai pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

“Pakej rangsangan ekonomi telah dibiayai terutamanya melalui pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) berhubung jumlah rizab negara dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat bulan September 2020.

Rizab negara yang juga merujuk kepada rizab antarabangsa BNM, terdiri daripada rizab mata wang asing, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Hak-hak Pengeluaran Khas (SDR), emas dan lain-lain aset rizab.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat