Rugi RM63,000 Ditipu Individu Menyamar Pegawai Polis Dan SPRM

368

Seorang pakar perunding hospital tidak menjangka dirinya akan kehilangan wang simpanan dalam akaunnya berjumlah RM63,465 apabila beliau bertindak memasukkan maklumat peribadinya ke laman web palsu Bank Negara Malaysia (BNM).

Mangsa yang berusia 60 tahun, menjelaskan kejadian itu bermula pada Sabtu lepas di mana mangsa dihubungi tiga lelaki yang mendakwa diri mereka pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan pegawai polis.

Melalui perbualannya dengan suspek pertama yang mengaku dirinya pegawai SPRM, mangsa didakwa telah gagal membayar cukai pendapatan, hasil daripada syarikat yang didaftarkan ke atas nama mangsa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, dakwaan tersebut tidak benar kerana mangsa tidak pernah membuka syarikat di Perak.

Panggilan itu kemudiannya dipindahkan kepada suspek kedua yang mengaku dirinya pegawai polis berpangkat ‘Sarjan’. Melalui panggilan itu, mangsa dituduh terlibat dengan kes dadah dan sedang disiasat oleh pegawai polis berpangkat ‘Datuk’, iaitu suspek ketiga.

Suspek ketiga kemudiannya mengambil alih perbualan tersebut dan menasihati mangsa untuk membuka pautan laman web BNM. Mangsa diminta untuk mengisi maklumat peribadi bagi membantu siasatan.

Terpedaya dengan dakwaan tersebut, mangsa akhirnya memasukkan dua maklumat berkaitan akaun banknya. Mangsa menyedari terdapat transaksi yang tidak dilakukan olehnya apabila membuat semakan akaun pada petang semalam.

Mangsa melaporkan kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan satu sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat