Rundingan Dagangan Pemacu KLCI dan Ringgit Catat Aliran Tinggi

130

Sesi dagangan di Bursa Malaysia hari ini dibuka tinggi menyusuli prestasi saham Asia berikutan keuntungan Wall Street pada dagangan semalaman selepas Amerika Syarikat (AS) dan China mengumumkan akan mengadakan rundingan perdagangan.

Indeks dibuka meningkat sebanyak 3.15 mata kepada 1,602.90 daripada 1,599.75 ketika ditutup semalam dengan jumlah dagangan RM239.973 juta unit yang bernilai RM113.017 juta.

Pasaran tempatan kembali pulih daripada kekecewaan ketika ditutup rendah semalam yang mana peniaga menyatakan terdapat minat belian yang baru di kalangan pelabur serta harapan baru terhadap rundingan perdagangan yang dijangka akan diadakan bulan depan.

Saham Asia dicatatkan mengalami peningkatan susulan sesi dagangan semalaman yang kukuh di Wall Street manakala matawang yen dan bon kerajaan terjual membawa tanda bahawa kebimbangan terhadap krisis perdagangan semakin pulih.

Berikutan keadaan tersebut, saham di Tokyo, Seoul dan Sydney dicatatkan mengalami kenaikan sederhana dengan Indeks MSCI Asia Pasifik meraih 2% menjadikannya mencapai minggu terbaik sejak Jun manakala saham Australia naik 0.5%, Kospi Korea Selatan menokok 0.3% dan Nikkei Jepun raih 0.6%.

Di pasaran tempatan, antara saham yang meraih keuntungan ialah MISC Bhd, UMW Holdings, Bank Islam Malaysia Berhad, Digi dan IHH Healthcare Bhd. Bagi saham yang mengalami kerugian pula ialah Hartalega, Public Bank, Petronas Chemical dan Panasonic Malaysia.

Sementara itu, ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan perkembangan positif dalam rundingan perdagangan menjadikan ringgit naik pada 4.1850/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1880/1910.

Unit tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0234/0281 daripada 3.0249/0275 dan meningkat berbanding yen kepada 3.9094/9152 daripada 3.9302/9341.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat