Rupanya Ini Sebab Yang Menekan Dagangan Dolar Aussie

458

Sentimen pasaran berisiko terus membelenggu pasaran ketika kes baru wabak Covid-19 terus mencatatkan peningkatan sehingga menyebabkan sekatan di beberapa negara dilaksanakan semula.

Dolar Aussie didagangkan di bawah tekanan setelah Victoria, Australia telah mengumumkan sekatan di seluruh bandar Melbourne dan bandar-bandar di sekitarnya dengan arahan perintah berkurung selama enam minggu. Pada minggu lepas, hanya 10 kawasan panas di Melbourne dikenakan perintah berkurung selama empat minggu.

Bagaimanapun, disebabkan peningkatan berterusan kes baru di negeri itu telah memaksa arahan sedemikian dikeluarkan bagi membendung penularan yang lebih luas.

Victoria merupakan negeri terbesar kedua di Australia dan penutupan ini dijangka mempengaruhi lebih 5 juta orang. Menurut Perbendaharaan, sekatan ini akan menimbulkan risiko untuk pemulihan ekonomi dan ia boleh menelan perbelanjaan negara sebanyak $1 bilion seminggu.

Reserve Bank of Australia (RBA) dalam kenyataan susulan mesyuarat polisi pada Selasa menyatakan kemerosotan yang dialami negara itu dilihat lebih baik daripada dijangkakan. Namun, ia tidak cukup untuk melegakan pelabur selepas menyaksikan sekatan semula di Melbourne dilaksanakan.

Bank pusat mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada tahap terendah dan sasaran hasil bon tiga tahun pada 0.25% serta bersetuju untuk tetap dengan pendirian semasa sehingga terdapat kemajuan dalam mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi.

Sementara itu, turut menekan dagangan dolar Aussie adalah ketegangan yang tidak berkesudahan antara dua ekonomi gergasi dunia. Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengumumkan untuk mengenakan sekatan visa kepada beberapa diplomat China.

Dolar Aussie didagangkan di sekitar paras harga 0.6935 berbanding US dolar pada sesi Asia hari ini setelah mengalami turun naik pada sesi dagangan sebelum ini.

Anda mungkin juga berminat