Sah! Yellen Dilantik Sebagai Setiausaha Perbendaharaan AS

330

Janet Yellen sah dilantik sebagai wanita pertama yang memegang portfolio sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat majoriti undian daripada Senat.

Yellen yang mengetuai Rizab Persekutuan (Fed) AS daripada 2014 hingga 2018, terdahulu memenangi sokongan bipartisan daripada anggota Jawatankuasa Kewangan Senat.

Beliau akan bertanggungjawab membimbing tindak balas ekonomi pentadbiran Presiden Joe Biden terhadap pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Yellen mendesak Kongres untuk meluluskan lebih banyak pakej rangsangan pandemik dan ekonomi dan menegaskan penggubal undang-undang harus bertindak berani tanpa perlu bimbang tentang hutang negara.

Jelas Yellen, banyak keluarga yang pendapatannya terjejas dan tidak mampu dipulihkan hanya melalui program pengangguran.

Beliau berpendapat pelan untuk menaikkan cukai mesti dilihat dalam konteks membiayai pelaburan lebih besar yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi AS berdaya saing.

“Fokus kini bukan terhadap kenaikan cukai. Ini adalah berkaitan program untuk membantu kita mengatasi pandemik,” ujarnya.

Ketika Yellen menjadi ketua Fed, beliau sering menekankan isu impak dasar bank pusat terhadap pekerja dan kos kenaikan ketaksamaan AS.

Tumpuannya pada sektor pekerjaan, bukannya inflasi, memberi Yellen reputasi yang suka memberikan kadar faedah yang rendah kepada mereka yang melakukan pinjaman, sekali gus memacu aktiviti ekonomi negara itu.

Sebelum itu, beliau merupakan ahli lembaga pengarah Fed selama sedekad termasuklah dilantik sebagai naib pengerusi selama empat tahun.

Yellen dilantik sebagai Pengerusi Fed oleh bekas Presiden Barack Obama namun beliau terpaksa meninggalkan jawatannya itu selepas bekas Presiden, Donald Trump enggan menyambung ‘kontraknya’ untuk penggal kedua.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat