Saham Asia Terus Meningkat Hari Ini

360

TOKYO: Saham Asia meneruskan rali pada Selasa berikutan tinjauan aktiviti perkilangan dari China dan Amerika Syarikat (AS) merangsang keyakinan pelabur, mencetuskan penjualan satu hari terbesar di pasaran Perbendaharaan AS dalam hampir tiga bulan.

MSCI, indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, meningkat 0.3 peratus ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan selepas rali lebih daripada satu peratus dalam sesi sebelumnya.

Saham Australia menokok 0.8 peratus manakala Nikkei Jepun naik 0.4 peratus, melanjutkan keuntungan untuk sesi ketiga.

Saham Wall Street melonjak pada Isnin, dengan S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average meningkat lebih daripada satu peratus, dengan Dow di lonjak kenaikan ketara dalam Caterpillar Inc dan Boeing Co.

Pelabur menyambut baik data AS semalaman yang menunjukkan peningkatan dalam aktiviti perkilangan bulan lalu dan perbelanjaan pembinaan pada Februari, yang membayangi kejatuhan jualan runcit yang tidak dijangka.

Bacaan yang lebih baik itu menambah kepada data terdahulu yang menunjukkan sektor perkilangan China kembali berkembang buat kali pertama dalam tempoh empat bulan pada Mac.

Berita baik bagi ekonomi global itu muncul di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap permintaan yang perlahan di seluruh dunia, dengan pertikaian tarif AS-China, perdagangan yang lembap dan keuntungan korporat yang lebih rendah mendorong pelabur untuk melambakkan aset berisiko sejak beberapa bulan lalu.

“Pasaran bertindak balas terhadap peningkatan sentimen di China. Ramai pelabur membeli dengan jangkaan peningkatan dalam harga saham,” kata Norihiro Fujito, Ketua Strategi Pelaburan di Mitsubishi UFJ Morgan Stanley Securities.

Nilai pound sterling susut 0.25 peratus pada AS$ 1.3073, tidak jauh daripada AS$1.2945 nadir bulan lalu.

Euro bergelut hampiran paras rendah tiga minggu AS$1.1198 pada awal Selasa, dan kali terakhir didagangkan susut satu persepuluh peratus pada AS$1.1204.

Berbanding yen Jepun, dolar susut sedikit kepada 111.33 yen, tetapi 1.5 peratus di atas paras terendah satu setengah bulan 109.70 yang di cecah pada 25 Mac.

Harga minyak melonjak hampir ke paras puncak empat bulan, selepas kedua-dua penanda aras utama mencatatkan peningkatan suku pertama terbesar dalam hampir satu dekad susulan tanda-tanda positif ekonomi global dan bekalan yang lebih ketat.

Niaga hadapan minyak mentah AS. diniagakan pada AS$61.92 satu tong, naik setengah peratus pada hari itu. Brent menokok 0.4 peratus pada AS$69.28 satu tong.

Emas 0.15 peratus lebih tinggi pada AS$1,289.10. – Reuters

Rujukan : Bharian

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat