Saham GDEX Terus Naik Lepas Umum Kerjasama Ini!

760

Saham GDEX Bhd naik selepas dilaporkan menjalinkan kerjasama dengan syarikat pembekal preskripsi elektronik (e-prekripsi), DOC2US dan farmasi berasaskan komuniti, Alpro Pharmacy untuk urusan penghantaran ubat-ubatan yang selamat dan boleh dijejaki secara ‘real-time’.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua firma terbabit mengatakan bahawa para pesakit yang mahu ubat-ubatan mereka dihantar ke rumah, boleh menjejaki penghantaran tersebut menerusi kod bar yang disediakan oleh GDEX bagi memudahkan mereka dapat menerima ubat-ubatan itu.

Ketua Pegawai Operasi GDEX, Caren Chong berkata, kakitangannya telah menjalani latihan secara dalaman bagi mengendalikan penghantaran dan menguruskan penyimpanan ubat-ubatan.

“Ditambah dengan sistem penjejakan kod bar kami, kami dapat memastikan bahawa ubat-ubatan yang tepat dapat dihantar kepada pesakit yang betul dan paling penting, dalam keadaan yang baik,” ujar Chong.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CE0) DOC2US, Dr. Raymond Choy berkata, kerjasama strategik yang melibatkan pihaknya, Alpro Pharmacy dan GDEX bukan sahaja akan meningkatkan proses serta produktiviti mereka tetapi yang lebih penting, memberikan pengalaman yang baik dari aspek penghantaran ubat-ubatan kepada para pesakit.

“Ini juga akan membolehkan kita memberikan penyelesaian sehenti bagi pesakit dari segi penjagaan kesihatan digital, bekalan farmasi sehinggalah logistik,” menurut Choy.

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Kumpulan Alpro Pharmacy, Lee Yin Chen berkata, tidak seperti barangan lain, ubat-ubatan perlu dikendalikan dengan betul dan mengikut garis panduan yang ketat.

“Mengedarkan ubat-ubatan menerusi penghantaran sambil mengekalkan komitmen yang tinggi terhadap keselamatan ubat-ubatan boleh menjadi cabaran,” jelas Yin Chen.

Tambah Choy, terhadap lebih 300 farmasi yang menggunakan perkhidmatan penghantaran/pengedaran elektronik.

Ujar beliau, pihaknya menyasarkan akan bekerjasama dengan 1,000 farmasi pada tahun ini supaya tempoh masa penghantaran ubat-ubatan di seluruh negara dapat dipercepatkan.

“Kami juga akan menawarkan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan ini ke semua farmasi rasmi kami pada tahun ini secara beransur-ansur,” katanya.

Pada pukul 2.31 petang, saham GDEX naik 1.33% atau 0.5 sen kepada 38 sen, sekali gus menjadikan permodalan pasarannya bernilai RM2.14 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat