Saham Ipmuda Melonjak Tembus Paras Tertinggi!

220

Harga saham Ipmuda Bhd melonjak sebanyak 33 sen atau 17.65% ke paras tertinggi iaitu RM2.20 ketika sesi dagangan di Bursa Malaysia pagi tadi.

Peningkatan itu berlaku selepas syarikat berkenaan mengumumkan beberapa langkah korporat termasuklah dividen khas sebanyak 30 sen sesaham dan ‘bonus issue’ sebanyak 101.46 juta saham baharu.

Harga saham tertinggi yang dicatatkan itu memberi nilai pasaran syarikat berkenaan sekitar RM223.21 juta berdasarkan 101.46 juta terbitan saham Ipmuda.

Tekanan jualan berlaku dengan cepat selepas pelabur bertindak mengambil untung. Pada pukul 9.47 pagi, kaunter itu diniagakan pada RM1.86 dengan 4.73 juta saham didagangkan.

Dagangan saham Ipmuda diteruskan hari ini selepas digantung bermula pukul 12.21 tengah hari pada Khamis lalu sehingga 5 petang pada Jumaat lalu, susulan pengumuman langkah korporat syarikat terbabit.

Jumaat lalu, Ipmuda mengumumkan beberapa langkah korporat, termasuklah cadangan penjualan hartanah syarikat itu di Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor dengan harga RM82 juta.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, Ipmuda berkata, syarikat itu telah memperuntukkan RM30.44 juta daripada hasil penjualan hartanah itu untuk membayar dividen khas kepada pemegang saham.

Sementara itu, Ipmuda mencadangkan terbitan bonus sebanyak 101.5 juta saham pada asas satu saham bonus bagi setiap saham Ipmuda sedia ada berserta 152.2 juta waran boleh pisah percuma pada asas tiga waran bagi setiap pegangan waran sedia ada.

Selain itu, lapor Bernama, Ipmuda juga akan mengemukakan cadangan terbitan 101.5 juta hak boleh lepas pada asas satu hak bagi setiap saham kumpulan sedia ada pada harga terbitan 30 sen sesaham yang mampu meraih kutipan sebanyak RM30.4 juta.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat