Saham MHB Terjun Parah Angkara Faktor Ini!

808

Saham Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) menjunam drastik pada hari ini (Rabu) susulan laporan pendapatan yang mengecewakan pada suku kedua.

MHB melaporkan kerugian bersih RM388.7 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, berbanding keuntungan bersih RM21.97 juta setahun sebelumnya.

Penyusutan itu berlaku susulan pertambahan kos peruntukan syarikat untuk projek yang sedang berjalan.

Ketika penulisan, saham MHB junam 17.39% atau 10 sen kepada 47.5 sen, membawa jumlah permodalan pasaran sebanyak RM768 juta pada sesi petang dagangan Bursa.

Walau bagaimanapun kumpulan itu menyaksikan lonjakan dua kali ganda dalam pendapatannya kepada RM1.06 bilion daripada RM400.63 juta setahun lalu, yang dipacu oleh hasil lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan berat.

Segmen tersebut merekodkan pendapatan RM990.9 juta daripada RM309.9 juta bagi suku yang sama sebelumnya, disumbang oleh hasil lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan.

Prestasi keseluruhan untuk enam bulan pertama setakat 30 Jun, MHB merekodkan kerugian bersih RM385.16 juta berbanding keuntungan bersih RM25.69 juta setahun sebelumnya.

Sementara hasil pula dilaporkan meningkat 89.7% kepada RM1.55 bilion daripada RM818.41 juta sebelumnya.

Kumpulan itu, yang dikuasai oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melihat segmen kejuruteraan berat akan terus berdepan cabaran dalam melaksanakan projek yang sedang berjalan menepati margin yang dianggarkan pada asalnya.

Hal ini disebabkan oleh kesan kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat