Saham Sektor Pemulihan Dijangka Jadi Pilihan Pelabur

436

Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya untuk dibuka tinggi pagi ini.

Prestasi itu dirangsang oleh pergerakan kukuh semalaman ekuiti Amerika Syarikat (AS) dengan kerancakan urus niaga di Nasdaq berjaya menebus kembali kerugian yang dicatatkan sebelumnya ketika kadar perolehan bon AS mulai turun.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.94 mata kepada 1,630.72 daripada 1,624.78 ketika ditutup pada urus niaga petang semalam.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 4.25 mata lebih tinggi kepada 1,629.03.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 420 berbalas 145 manakala 314 kaunter tidak berubah, 1,316 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 436.02 juta unit bernilai RM282.23 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, situasi pemulihan ekonomi yang mula menunjukkan hasil berikutan penyusutan kes Covid-19, mencetuskan  pergerakan menaik berterusan FBM KLCI dengan indeks utama berada melepasi tahap psikologi 1,600.

“Dengan mengambil petunjuk daripada peningkatan kukuh saham berwajaran tinggi teknologi di Wall Street, kami menjangkakan aktiviti membeli ketika harga saham murah akan muncul untuk saham teknologi tempatan,” ujarnya.

Firma penyelidikan turut memaklumkan harga minyak sawit mentah terus mengukuh menghampiri paras RM4,000 satu tan.

“Memandangkan Nasdaq telah bangkit semula, peserta pasaran mungkin mengambil pegangan masing-masing dalam sektor teknologi dan pada masa sama, terus membeli di kaunter yang agak ketinggalan terutama sektor bertemakan pemulihan seperti penerbangan, pengguna, pembinaan dan hartanah.

“Selain itu, kami menjangkakan beberapa minat belian di kaunter perladangan terutamanya ketika harga minyak sawit mentah terus mengukuh,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing menambah satu sen kepada RM8.51 dan RM4.66, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.45, Tenaga turun dua sen kepada RM10.68 sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.13.

Antara kaunter paling cergas, KTG dan waran Dagang Nexchange masing-masing meningkat satu sen pada 24 sen dan 35.5 sen, Dagang Nexchange menambah 1.5 sen kepada 74.5 sen, Saudee Group naik enam sen kepada 60 sen dan Dynaciate tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 61.87 mata kepada 11,896.84, Indeks FBMT 100 meningkat 58.12 mata kepada 11,599.48 dan Indeks FBM Emas Syariah 79.97 mata lebih tinggi pada 13,102.69.

FBM ACE melonjak 114.36 mata kepada 10,304.08 dan FBM 70 mengukuh 139.78 mata kepada 15,761.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.67 mata kepada 15,761.09, Indeks Perladangan mengembang 4.32 mata kepada 7,172.0 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.68 mata menjadi 187.90.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat