Salleh: Hutang Isirumah Malaysia Semakin Berkurangan Disokong Kenaikan Pendapatan

106

Hutang isirumah di Malaysia berkurangan jika dilihat melalui nisbah hutang tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 84.6% sehingga September 2017 daripada tahun lalu di paras 88.4%. Pengurangan peratusan hutang ini juga dipacu oleh kenaikan ekonomi tahun ini.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata kenaikan ekonomi ini juga turut menunjukkan pasaran buruh yang semakin baik dengan kenaikan gaji minimum pada 2018, di samping kadar pengangguran rendah 3.4%.

“Sehingga hujung September 2017, pertumbuhan ekonomi KDNK (GDP) naik 5.9% lebih tinggi daripada kenaikan hutang 4.9%.”

“Kita sekarang mempunyai lebih banyak pendapatan boleh-guna untuk membayar hutang,” kata beliau.

Salleh berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 disokong oleh IMF (International Monetary Fund) yang mengkaji semula ramalan mereka dari 4.5% kepada 4.8%.

“Ia juga dijangka kekal kukuh seperti yang diramalkan Bank Dunia tahun depan pada kadar 5.2%.”

Katanya, kesinambungan pertumbuhan ini bukan hanya statistik tetapi disahkan sendiri oleh institusi perbankan antarabangsa dan juga kebanyakan firma penyelidikan global.

“Bagaimanapun, kerajaan sedar perlunya untuk terus membantu khususnya kumpulan berpendapatan rendah.”

Bantuan untuk kumpulan berpendapatan rendah termasuklah Klinik 1Malaysia untuk perubatan pada kadar RM1, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup, bantuan buku kepada anak-anak kumpulan berpendapatan rendah, penghapusan beberapa tol di kawasan bandar dan banyak lagi.

Salleh mengatakan polisi yang berhemah telah membawa Malaysia ke tahap sekarang dan beliau mengatakan masa depan Malaysia adalah cerah selagi kita percaya ia akan terjadi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat