Matawang pound sterling jatuh lebih rendah ketika pembukaan sesi Eropah setelah terdapat laporan terbaru mengenai rundingan perjanjian perdagangan Brexit yang kurang menyenangkan.
Terbaru, Reuters melaporkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bakal bertemu di Brussels pada Khamis dan Jumaat untuk berbincang mengenai Brexit dan akan melabelkan kemajuan dalam rundingan dengan UK sebagai ‘masih tidak mencukupi’ untuk menandatangani perjanjian perdagangan baru.
Draf keputusan sidang kemuncak yang dilihat oleh Reuters menyebutkan bahawa 27 pemimpin negara akan memberitahu perunding mereka untuk meningkatkan lagi usaha dalam rundingan dengan UK bagi mencapai dan melaksanakan perjanjian.
Selain itu, para pemimpin EU juga akan bersetuju untuk meningkatkan persiapan ke atas ekonomi yang mungkin terjejas teruk sekiranya perjanjian bagi mengelakkan tarif dan kuota gagal dicapai.
Di samping itu, mereka juga akan memberitahu Britain bahawa ia harus melaksanakan sepenuhnya komitmen dalam perjanjian pengunduran Brexit yang ditandatangani sebelum ini.
Pound sterling gagal mempertahankan pengukuhannya dengan susut lebih rendah kepada 1.2888 berbanding US dolar.
Pasangan matawang pound berbanding US dolar telah mencatatkan penurunan sekitar 200 pips sejak dagangan sesi Eropah pada Selasa berikutan ketidakpastian mengenai Brexit yang terus membelenggu pasaran.