Sektor Perkilangan Di Beberapa Negara Asia Terjejas Teruk Angkara COVID-19!

388

Permulaan awal minggu menyaksikan beberapa penerbitan data ekonomi dari negara-negara Asia yang menunjukkan sektor pembuatan pada bulan Februari yang terjejas teruk akibat terkesan oleh wabak coronavirus.

Aktiviti perkilangan di China mengalami penguncupan paling ketara apabila bacaan PMI hasil tinjauan Caixin yang diterbitkan pagi ini mencatatkan kejatuhan pertama dalam sektor tersebut sejak Julai 2019.

Penyusutan ini menyusuli kejatuhan dalam data PMI yang diterbitkan oleh Biro Statistik Kebangsaan (NBS) pada Sabtu yang menunjukkan sektor pembuatan mencecah rekod terendah sejak 2009 dengan bacaan 35.7 daripada 50.0 pada bulan sebelumnya.

Kemerosotan yang dialami oleh ekonomi kedua terbesar dunia itu juga memperlihatkan kejatuhan ketara di beberapa negara Asia yang lain termasuk Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Korea Selatan dan Jepun yang melaporkan peningkatan dalam jumlah kes dan kematian sejak kebelakangan ini, menunjukkan penurunan mendadak dalam pengeluaran, menurut tinjauan yang dikeluarkan oleh IHS Markit pagi ini.

Aktiviti kilang di Korea Selatan merekodkan kejatuhan ke paras terendah dalam tempoh empat bulan iaitu 48.7 daripada 49.8 pada Januari, didorong oleh penguncupan dalam pesanan eksport.

Selain itu, sektor perkilangan di Jepun merekodkan penguncupan paling ketara dalam tempoh hampir empat tahun pada bulan Februari dengan bacaan menyusut kepada 47.8 daripada 48.8 yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, menguatkan lagi jangkaan bahawa ekonomi Jepun akan mengalami kemelesetan.

Di samping itu, pasaran sesi Asia juga dipaparkan dengan penurunan ketara dalam sektor pembuatan di negara Asia lain seperti Malaysia, Vietnam, Filipina dan Thailand yang turut mengalami kejatuhan ketara dalam sektor pembuatan.

Sentimen daripada data perkilangan yang diterbitkan hari ini membuktikan bahawa kesan negatif daripada coronavirus telah mengganggu rantaian bekalan dan membantutkan permintaan global.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat