Sentimen Terkini Pasaran Forex Pada Permulaan Dagangan Minggu Ini

470

Banyak kejutan terlihat pada dagangan bulan terakhir untuk tahun ini berkemungkinan tidak seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak. Pasaran saham merudum dan memberi kesan kepada matawang dollar USD dan AUD yang menunjukkan prestasi terburuk ekoran sentimen pasaran yang berisiko. Perkembangan optimis dalam perang dagang ditunjukkan oleh kedua negara ekonomi terbesar dunia di mana persetujuan China dan Amerika Syarikat untuk mewujudkan gencatan perdagangan sementara dan menghentikan sebarang serangan tarif terhadap barangan import masing-masing dalam tempoh 90 hari. Namun, pelabur mulai merasa tidak selesa setelah berita penahanan CFO syarikat teknologi gergasi China, Huawei dan berkemungkinan akan menjejaskan perjanjian damai sebelumnya. Dengan itu, pelabur masih melihat dagangan untuk bulan Disember akan terus berisiko dan mencabar.

Matawang AS Dolar melemah berbanding matawang utama yang lain pada permulaan dagangan minggu ini selepas data pekerjaan mencatatkan bacaan yang merosot sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa Rizab Persekutuan (Federal Reserve) mungkin menghentikan program kenaikan kadar faedah lebih awal daripada yang dijangkakan. Hanya 155K pekerjaan yang dicatatkan pada bulan November berbanding ramalan untuk kenaikan 198K. Manakala data purata pendapatan yang akan mencerminkan perkembangan inflasi meningkat hanya 0.2% berbanding ramalan 0.3%. Memandangkan pasaran buruh salah satu enjin utama dalam pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat, ini akan memberi kesan yang kurang baik untuk mesyuarat FOMC minggu hadapan.

Dalam waktu yang sama, Statistik buruh Kanada juga mengeluarkan laporan mengenai sektor pekerjaan untuk bulan November dengan mencatatkan kejutan kenaikan. Bacaan November dikeluarkan pada angka 94,100 pekerjaan yang dicipta dan ini merupakan kenaikan yang paling tinggi sejak 1976. Bukan itu sahaja, kadar pengangguran juga turut memberikan laporan positif dengan penurunan kepada 5.6% daripada 5.8%. Selain itu, berita baik untuk Kanada adalah terdapat persetujuan daripada OPEC untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 1.2 juta tong sehari. Dengan tiada data utama pada minggu ini, persetujuan positif OPEC dan sektor pekerjaan yang mengukuh, matawang CAD dilihat sebagai matawang yang akan mengukuh pada minggu ini.

Tidak lupa juga, minggu ini adalah ditunggu-tunggu oleh pelabur yang memilih dagangan Sterling berikutan keputusan terhadap perjanjian Brexit Theresa May bakal diketahui pada undian Parlimen Britain yang dijadualkan pada esok hari, 11 Disember. Prestasi matawang GBP sejak kebelakangan ini dilihat lemah dan pasaran ternanti-nanti sama ada mampukah Sterling kembali mengukuhkan semula nilai matawangnya setelah keputusan undian dikeluarkan nanti.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat