Senyum Je Trader GOLD Hari Ini, Banyak Ke Untung?

785

Kebimbangan pasaran terhadap penemuan varian baharu Covid-19 dan perkembangan positif megenai pakej rangsangan Amerika Syarikat, telah memberi manfaat buat dagangan safe-haven emas ketika pembukaan dagangan minggu ini.

Emas terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan didagangkan meningkat pada $1,905 per auns menjelang sesi Eropah, sementara niaga hadapan emas pula menguat pada $1,910 per auns (2.30 petang waktu Malaysia).

Kenaikan ini telah disokong oleh ancaman baru Covid-19 yang merebak dengan cepat di UK dan digambarkan oleh Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock sebagai di luar kawalan, telah mendorong para pelabur mencari perlindungan daripada aset safe-haven.

Hal ini telah mendorong negara itu melaksanakan sekatan di London dan beberapa kawasan di England untuk membendung penularan yang lebih serius.

Selain itu, beberapa negara terutamanya Kesatuan Eropah (EU) juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sempadan mereka dan menyekat penerbangan dari UK.

Emas terus meningkat lebih tinggi selepas para pemimpin Kongres AS dilaporkan mencapai kata sepakat ke atas pakej rangsangan bernilai $900 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat krisis Covid-19.

Dewan Perwakilan AS akan mengundi rang undang-undang tersebut pada hari ini dan diikuti pula oleh Senat.

Turut menyokong dagangan emas adalah ketidakpastian mengenai Brexit yang kembali membelenggu pasaran menyebabkan para pelabur beralih kepada safe-haven.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat