Seperti Mendapat Talian Hayat, Emas Bernafas Semula!

1,598

Harga emas kembali bangkit dari paras terendah enam minggu selepas mendapat sokongan daripada kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell.

Pada awal sesi Asia, emas didagangkan lebih tinggi pada sekitar harga $1,980 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,982 per auns.

Logam kuning itu berjaya mengurangkan sedikit kerugian mingguannya selepas melonjak lebih 1% pada hari Jumaat.

Ini susulan kenyataan Powell bahawa krisis perbankan baru-baru ini telah menyebabkan kredit yang lebih ketat sekali gus mengurangkan tekanan untuk Fed menaikkan kadar faedah.

Tambahnya lagi, bank pusat itu mungkin tidak perlu menaikkan kadar faedah seperti yang sepatutnya untuk mencapai matlamatnya.

Hal ini secara tidak langsung kembali menguatkan jangkaan bahawa Fed mungkin tidak akan melakukan perubahan kadar faedah pada mesyuarat polisi bulan depan.

Pun begitu, pasaran akan tetap memberi tumpuan kepada terbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.

Pada masa yang sama, isu siling hutang Amerika Syarikat kembali menemui jalan buntu selepas Presiden Joe Biden mengatakan permintaan Republikan tidak dapat diterima.

Bagaimanapun, Presiden Joe Biden dan Speaker Republikan Dewan Rakyat Kevin McCarthy akan bertemu semula untuk membincangkan isu tersebut pada hari Isnin.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat