Siapa Lelaki Yang Bergelar ‘Warren Buffett’ Arab Saudi Ini?

6,273

Putera Alwaleed bin Talal dilahirkan pada 1955 dan merupakan keturunan raja Arab Saudi. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mempraktikkan ajaran Islam dan turut mula menunjukkan minat terhadap bidang keusahawanan ketika zaman kanak-kanak lagi.

Ketika menginjak ke usia remaja, Alwaleed mula menunjukkan sifat memberontak sehingga kedua-dua ibu bapanya mendaftarkannya di salah sebuah sekolah tentera untuk mendisiplinkan anak mereka.

Seterusnya, beliau meninggalkan Timur Tengah untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang pentadbiran perniagaan di Amerika Syarikat.

Alwaleed telah berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dari California’s Menlo College pada tahun 1979. Beberapa tahun kemudian, beliau menamatkan pengajian sarjananya dalam bidang sains sosial di New York’s Syracuse University.

Setelah itu, beliau meminjam sebanyak $30,000 daripada bapanya untuk menubuhkan sebuah syarikat pelaburan. Malangnya, beliau telah kerugian kesemua wang tersebut dalam tempoh 12 bulan pertama operasi syarikat berkenaan. Rentetan daripada itu, beliau terpaksa bermula segala usaha dari awal.

Pada ketika itu, Arab Saudi memerlukan syarikat-syarikat asing yang berminat untuk beroperasi di negara tersebut serta mempunyai rakan kongsi atau wakil daripada warganegara mereka. Sehubungan dengan itu, ianya mewujudkan peluang yang lumayan untuk ahli perniagaan tempatan bagi mendapatkan keuntungan daripada pelaburan langsung asing yang dijalankan.

Oleh itu, Alwaleed turut serta menjadi wakil tempatan untuk syarikat-syarikat antarabangsa dan memperoleh komisen untuk setiap urusniaga yang dijalankan di negara tersebut. Komisen yang diperolehi ialah antara 5% hingga 30%. Di sinilah bermulanya episod kejayaan Alwaleed.

Pada 1980, beliau berjaya mengasaskan Kingdom Holding Company dengan modal pasaran lebih daripada $1 juta. Seterusnya, beliau mula mempelbagaikan portfolio pelaburan Kingdom Holdings.

Salah satu pelaburannya berjaya memperoleh sebanyak 7% kepentingan ekuiti di United Commercial Bank, sebuah bank tempatan yang hampir muflis.

Melalui pengambilalihannya yang berdepan dengan pelbagai kesukaran, Alwaleed telah bekerjasama dengan pemegang saham utama bank lain untuk mengubah pengurusan bank berkenaan secara keseluruhannya. Akhirnya, bank tersebut berjaya diperolehi oleh Samba Financial Group, institusi kewangan terbesar kerajaan.

Sejak daripada itu, nama Alwaleed mula dikenali serata dunia. Di samping itu, pendapatan yang dicatatkan olehnya adalah lebih $18.7 bilion. Beliau juga memiliki sebuah istana yang berkeluasan 460,000 kaki persegi yang memerlukan pekerja seramai 100 orang serta sebuah pesawat peribadi Boeing 747.

Dengan kejayaan yang diperolehi, Alwaleed digelarkan sebagai Warren Buffett Arab Saudi dan menjadi salah seorang pelabur terkaya dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat