Silicon Valley Bank: Kegagalan Bank Terbesar Selepas Lehman Brothers

2,456

Kejatuhan mendadak saham Silicon Valley Bank (SVB) telah mencetuskan panik dalam pasaran ekuiti global dan turut mengheret saham-saham berkaitan perbankan untuk turut merudum.

Hal ini berlaku kerana SVB tidak lagi mampu menanggung ‘beban’ daripada kesan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Federal Reserve (Fed).

Krisis ini bermula selepas pemberi pinjaman utama kepada syarikat start-up teknologi itu melancarkan jualan saham $2.25 bilion untuk menyokong kewangannya.

Ini bagi menutup kerugian $1.8 bilion yang dialaminya selepas menjual $21 bilion bon daripada portfolionya.

Kesan daripada kadar faedah Amerika Syarikat yang tinggi, bon yang dimiliki oleh SVB hanya menghasilkan pulangan purata 1.79% sahaja, jauh di bawah hasil perbendaharaan 10 tahun semasa yang berada pada sekitar 3.9%.

Tindakan tersebut telah mencetuskan panik di kalangan pendeposit sehingga mendorong pengeluaran besar-besaran deposit daripada bank itu.

Impaknya, saham Silicon Valley menyaksikan kejatuhan terbesar hariannya apabila ia menjunam lebih 60% pada hari Khamis dan penurunan tersebut berterusan pada Jumaat, mengakibatkan dagangannya digantung ketika dibuka pada sesi New York.

Bukan itu sahaja, krisis ini turut memberi impak kepada saham perbankan lain, yang menyaksikan 4 bank terbesar AS memadamkan $50 bilion daripada nilai pasaran mereka dalam sehari pada Khamis.

Bahkan pasaran saham Eropah juga merasa tempiasnya untuk diperdagangkan lebih rendah pada hari Jumaat.

Dalam perkembangan terbaru, pengawal selia kewangan AS terpaksa menutup SVB dan mengawal depositnya. Ini secara tidak langsung menjadikannya sebagai kegagalan bank terbesar sejak krisis kewangan global 2008.

Rentetan daripada krisis ini juga ia telah menimbulkan kebimbangan pelabur sama ada bank-bank lain akan mengambil langkah yang sama dengan SVB di tengah-tengah kadar faedah AS yang semakin meningkat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat