Situasi Makin Buruk, Harga Minyak Meluncur Laju Ke Bawah

260

Kejatuhan dalam dagangan minyak mentah bersambung untuk empat hari berturut-turut di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap permintaan global.

Sesi Asia memperlihatkan niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada $92 setong setelah kehilangan 2.8% pada sesi sebelum ini, manakala WTI Amerika Syarikat rugi 3.5% membawanya diniagakan pada $85 setong.

Kedua-dua penanda aras telah mengalami penyusutan ketara minggu ini, di mana dagangan Brent susut lebih 6% dan WTI AS pula junam lebih 7%.

China berdepan dengan situasi Covid-19 yang semakin buruk selepas Guangzhou yang mempunyai populasi 19 juta penduduk melaporkan lebih 2,000 kes baharu pada Rabu menyebabkan dua daerah ditutup.

Selain itu, kelemahan harga minyak turut dipengaruhi oleh data terbaharu dari Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) yang mencatatkan peningkatan besar dalam inventori minyak AS.

Bekalan minyak AS melonjak 3.9 juta tong minggu lalu, menjadikannya meningkat ke tahap tertinggi sejak Julai 2021.

Dalam konteks ini, penutupan Covid-19 di China dibimbangi akan melembapkan permintaan dari pengimport utama minyak dunia itu dan peningkatan bekalan minyak AS pula menandakan kelemahan permintaan oleh pengguna.

Permintaan yang lemah adalah negatif buat harga minyak, dan ini mendorong dagangan komoditi hitam terus suram pada minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat