Situasi Panik Pasaran Dorong Harga Emas Cecah Paras Ketinggian Terbaru!

1,079

Buat pertama kali sejak Disember 2012, harga emas diniagakan melonjak ke atas paras $1,700 per auns pada awal dagangan sesi Asia berikutan risiko kemelesetan global yang semakin meningkat telah mendorong pelabur untuk mendapatkan aset safe-haven.

Bagaimanapun, logam berharga itu kembali menyusut dengan diniagakan di sekitar paras harga $1,670.00 selepas melonjak sehingga mencecah $1,703.90 pagi tadi.

Perang harga yang dilancarkan oleh Arab Saudi pada Sabtu lalu, bukan sahaja telah mencetuskan panik dalam pasaran minyak, malah pasaran matawang dan saham global turut terjejas teruk.

Saham Asia didagangkan negatif pada hari ini, sementara niaga hadapan bagi indeks saham Dow Jones susut hampir 1,200 mata susulan sentimen pasaran yang menggusarkan para pelabur pada awal pagi tadi.

Sementara itu, Itali telah mengarahkan lebih 15 juta penduduknya di utara Itali untuk diletakkan di bawah perintah kuarantin sehingga 3 April. Sekatan ini berpotensi membantutkan aktiviti ekonomi di negara itu.

Itali merupakan negara kedua selepas China yang mencatatkan angka kematian paling tinggi iaitu sebanyak 366 kematian dan 7,375 kes jangkitan setakat ini.

Dalam pada itu, data yang diterbitkan pada Sabtu menunjukkan eksport China jatuh mendadak pada dua bulan pertama tahun ini ekoran gangguan besar-besaran terhadap operasi perniagaan, rantaian bekalan global dan aktiviti ekonomi ketika dilanda coronavirus.

Penganalisis kini menjangkakan kesan daripada wabak ini mungkin akan mengurangkan separuh daripada pertumbuhan ekonomi China pada suku pertama tahun ini berbanding suku sebelumnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat