Spyware : Perisian Yang Membahayakan Peranti Anda!

529

Sebelum ini, kita digemparkan dengan berita bahawa telefon bimbit seorang jutawan terkemuka dunia, Jeff Bezos dipercayai telah digodam oleh Putera Mahkota Arab Saudi. Berdasarkan berita berkenaan, kita perlulah mengambil iktibar dan sentiasa berhati-hati apabila menggunakan apa-apa peranti dalam kehidupan seharian terutamanya telefon bimbit.

Sedangkan golongan kaya-raya juga boleh dijadikan mangsa apatah lagi kita, orang biasa. Tahukah anda tentang spyware?

Spyware merupakan sebuah perisian yang dipasang pada peranti pengkomputeran tanpa pengetahuan pengguna akhir. Ianya digunakan untuk mencuri maklumat peribadi dan data penggunaan internet lalu dihantar kepada pengguna lain atau golongan yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, sebarang perisian yang dimuat turun tanpa kebenaran pengguna juga boleh dikategorikan sebagai spyware. Oleh itu, ia adalah sebuah nama yang terpalit dengan pelbagai kontroversi. Meskipun dipasang untuk alasan yang tidak membahayakan, akan tetapi ianya berpotensi untuk disalahgunakan dan melanggar privasi pengguna.

Oleh yang demikian, spyware dianggap sebagai satu ancaman kepada semua pengguna internet. Setelah dipasang, perisian tersebut dapat memantau penggunaan internet, mengesan maklumat log masuk serta menjadi pengintip informasi sensitif. Kebiasaannya, spyware digunakan untuk mendapatkan nombor kad kredit, maklumat perbankan dan kata laluan.

Seterusnya, perisian berkenaan amat sukar untuk dikesan. Satu petunjuk utama jika peranti pengkomputeran anda telah dijangkiti dengan spyware ialah apabila terdapat pengurangan yang ketara dalam sistem pemprosesan atau kelajuan sambungan data manakala bagi peranti mudah alih pula dapat dikesan melalui penggunaan data dan hayat bateri.

Bagaimanakah spyware berfungsi?

Ianya boleh menjejaskan mana-mana komputer peribadi atau Mac serta peranti iOS dan Android. Berikut merupakan 3 cara yang dapat mengundang jangkitan spyware:

1. Memuat turun bahan daripada sumber yang tidak boleh dipercayai atau tidak diketahui
2. Menerima iklan pop yang muncul tanpa membaca isi kandungannya terlebih dahulu
3. Menerima dan membuka lampiran emel daripada pengirim yang tidak dikenali

Untuk mengelakkan atau mencegah perisian tersebut, anda boleh menggunakan alat antispyware. Ianya boleh memberikan perlindungan kepada peranti anda dengan mengimbas rangkaian data atau menyekat mana-mana data yang merbahaya serta dapat mengesan dan mengeluarkan spyware yang sedia ada dalam sistem dengan melaksanakan scan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat