Suspek Pengeboman Bali 2002 Dibebaskan

1,477

Indonesia membebaskan suspek dalang insiden pengeboman Bali 2002 dan antara pengganas paling dikehendaki di negara itu, Abu Bakar Baasyir hari ini.

Lapor Detik.com, pemimpin Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) itu dilihat dijemput oleh keluarganya dan dibawa pulang ke rumahnya di Jawa Tengah.

Rakaman stesen televisyen memaparkan beberapa van meninggalkan kawasan penjara di Bogor, selatan Jakarta.

Baasyir, 82, dipenjarakan pada 2011 selama 15 tahun selepas didakwa mempunyai kaitan dengan kem ketenteraan militan di wilayah Aceh.

Selepas menerima pengurangan hukuman penjara secara berkala, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia memaklumkan Baasyir telah melengkapkan hukumannya.

Meskipun dikaitkan dengan serangan Bali yang mengorbankan 202 orang dan serangan di hotel J.W. Marriot Jakarta pada 2003, Baasyir tidak pernah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya.

Zulkarnaen, lelaki yang dipercayai merupakan salah seorang anggota tertinggi Jemaah Islamiah (JI) dan terlibat dalam pembuatan bom ketika kedua-dua serangan itu berlaku, ditahan bulan lalu.

Menurut Menteri Luar Australia, Marise Payne, Indonesia perlu memastikan Baasyir tidak lagi melakukan sebarang jenayah keganasan.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang terselamat dalam insiden pengeboman Bali, Thiolina Marpaung mahu pihak berkuasa terus memantau pergerakan Baasyir.

“Kita tidak tahu apa yang dia lakukan di dalam penjara. Kerajaan perlu mengawasi pelaku keganasan di Indonesia yang dibebaskan dari penjara,” kata Marpaung.

Susulan serangan Bali dan sokongan daripada Australia serta Amerika Syarikat (AS), Indonesia menubuhkan pasukan anti-keganasan elit untuk membanteras kumpulan JI dan berjaya menahan serta menembak mati sekumpulan anggota militan yang disyaki.

Namun terdapat kumpulan pengganas yang baharu dibentuk dan melancarkan serangan di Indonesia. Bulan lalu, seramai 23 anggota pengganas ditahan termasuklah Zulkarnaen.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat