Tabung Haji Umum Agihan Keuntungan 3.10%

350

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 3.05% pada 2019.

Menurut kenyataan badan pengurusan haji tersebut, simpanan dan pelaburan itu, agihan keuntungan bagi 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019 akan dinikmati oleh kira-kira sembilan juta pendeposit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, prestasi kewangan TH pada tahun lalu kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam kenyataan tersebut seperti dilaporkan oleh Bernama.

Ujar TH, jumlah deposit telah mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari iaitu paras tertinggi dalam sejarahnya, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

Pada masa sama, TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi 2020 berbanding RM86 juta pada 2019.

“Oleh itu para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka. Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” menurut TH.

Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula 8 malam ini sehingga 12 tengah hari esok bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

Tambah TH, para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas 12 tengah hari esok menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat selain saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Mengenai perkembangan ibadah haji, Zulkifli berkata, sehingga kini kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan musim haji tahun ini walaupun telah menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah sejak 1 November tahun lalu.

“Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Oleh itu saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan oleh TH secara dalam talian. Bakal-bakal haji juga perlu menjaga kesihatan diri dengan menjaga pemakanan dan lakukan senaman kerana ibadat haji menuntut kekuatan zikal dan mental,” jelas beliau.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat