Tertinggi 20 tahun, USD Tak Gayat Mendaki Lebih Jauh!

201

Seusai laporan ekonomi dari Eropah disiarkan, pelabur kini mengalihkan tumpuan kepada pengeluaran data PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat pada sesi New York.

Pelabur kekal berpegang teguh pada dagangan dolar Amerika pada sesi Eropah, menyaksikan raja mata wang itu mendekati paras tertinggi 20 tahun berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Jangkaan penutupan baharu pada saluran paip gas Nord Stream 1 ke Eropah telah meningkatkan kebimbangan terhadap kemelesetan, yang diburukkan lagi dengan catatan kurang memberangsangkan dalam data PMI perkhidmatan dan pembuatan di Zon Eropah pada bulan Ogos.

Ini sekali gus menambah tekanan buat dagangan euro untuk terus melemah di paras terendah terbaharu 20 tahun dengan didagangkan di bawah paras harga pariti berbanding greenback.

Selain itu, pelabur juga telah dipersembahkan dengan bacaan data yang sama dari UK di mana sektor pembuatan dilaporkan jatuh ke bawah penguncupan dan aktiviti perkhidmatan pula positif pada bulan Ogos.

Pun begitu, mata wang pound gagal memberi reaksi ketara kepada pengeluaran data tersebut, sebaliknya kekal didagangkan di bawah tekanan pada paras terendah lebih dua tahun berbanding dolar Amerika yang lebih kuat.

Meneliti perkembangan mata wang komoditi, dolar Aussie dan New Zealand diperdagangkan sedikit berubah pada paras terlemah satu bulan berbanding US dolar.

Sementara dolar Kanada pula gagal memanfaatkan pengukuhan harga minyak mentah dunia yang didorong oleh Arab Saudi, memperlihatkannya kekal diniagakan di sekitar paras terendah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat