TikTok Kekal ‘Selamba’, Malas Layan AS

251

Meskipun berdepan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS), namun TikTok dilihat tidak terkesan langsung malahan terus mengembangkan ‘pengaruhnya’.

Firma itu dilaporkan telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat e-dagang Kanada, Shopify untuk membantu syarikat-syarikat perniagaan menghasilkan video berbentuk iklan bagi mempromosikan produk mereka.

Shopify memaklumkan kerjasama itu akan membolehkan lebih sejuta penjual untuk memasarkan produk mereka dalam bentuk iklan video.

Pengguna TikTok hanya perlu klik pada iklan tersebut untuk membeli barangan menerusi Shopify. Kerjasama itu hanya ditawarkan terlebih dahulu di pasaran AS ketika ini.

Kedua-dua firma itu dalam perancangan untuk memperluaskan kerjasama itu di seluruh Eropah dan Asia Tenggara pada awal tahun hadapan.

Menurut seorang jurucakap TikTok, syarikat berkenaan juga merancang untuk mengambil sekitar 3,000 jurutera untuk tempoh tiga tahun akan datang.

“Syarikat induk TikTok iaitu ByteDance akan mengupah jurutera, kebanyakannya di Eropah, Kanada, AS dan Singapura untuk menyokong pertumbuhan global kami yang pesat,” jelas jurucakap berkenaan.

Seramai 1,000 orang jurutera telah diambil bekerja di luar China dan hampir separuh daripadanya berpusat di California.

Bulan lalu, ByteDance merancang untuk melabur berbilion dolar dan merekrut ratusan pekerja di Singapura, yang telah dipilih sebagai ibu pejabat untuk operasinya di Asia Tenggara.

Sebelum ini, TikTok dipaksa menjual operasinya di AS atau terpaksa berhadapan dengan sekatan di negara terbabit.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat