Trump Belum Sedia Untuk Capai Kesepakatan Perjanjian Perdagangan Bersama China

206

Perkembangan terbaru berhubung isu perang dagang antara Amerika Syarikat dan China dilihat masih lagi belum mampu membuatkan pelabur menarik nafas lega.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa telah menyatakan Amerika terpaksa menjalankan urusan perdagangan bersama China walaupun memberi kesan buruk terhadap ekonomi Amerika Syarikat kerana mendakwa Beijing telah menipu Washington untuk berdekad lamanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas kerajaan mengumumkan pengesahan kebenaran penjualan $8 bilion pesawat pejuang Lockheed Martin F-16 kepada Taiwan, satu tindakan yang pastinya akan mengundang kemarahan Beijing dan prospek yang semakin pudar untuk perjanjian perdagangan mencapai kesepakatan dalam masa terdekat.

Trump juga menyatakan bahawa beliau belum bersedia untuk meneruskan rundingan bersama China seperti yang ditulis pada akaun media sosial Twitter beliau.

Selain perkembangan perang dagang, ketidaktentuan politik di Hong Kong, Itali dan juga Britain masih lagi meningkatkan kebimbangan terhadap para pelabur. Prospek pilihan raya terbaru di Itali selepas peletakan jawatan Perdana Menteri Giuseppe Conte menambahkan lagi risiko dan menyebabkan hasil bon kerajaan mencatatkan penurunan.

Isu berkenaan Huawei juga masih belum mampu memberikan gambaran yang positif walaupun sekatan pentadbiran Amerika Syarikat terhadap syarikat teknologi gergasi China itu ditangguhkan selama 90 hari.

Dengan konflik yang melanda, pengasas Huawei Technologies Co., Ren Zhengfei mengatakan bahawa syarikat berada dalam situasi “hidup atau mati”. Namun beliau optimis, Huawei bakal mendominasi dunia teknologi dalam masa beberapa tahun lagi dan menggugat penguasaan Amerika Syarikat dalam sektor tersebut.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat