Trump Khianati Rakyat AS?

869

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa tahu mengenai betapa bahayanya ‘penangan’ Covid-19 sebelum wabak berkenaan melanda negara itu tetapi beliau mengambil sikap ‘tidak peduli’.

Dakwaan itu didedahkan menerusi sebuah buku yang ditulis oleh wartawan, Bob Woodward iaitu Rage. Woodward sebelum ini pernah membongkar mengenai skandal Watergate pada tahun 1972 sehingga membawa kepada peletakan jawatan bekas Presiden AS ketika itu, Richard Nixon.

Semalam, beberapa media AS menerbitkan sebahagian temuramah Trump bersama Woodward yang dijalankan pada Februari lalu.

Dalam temuramah itu, Trump berkata beliau tahu betapa bahayanya wabak berkenaan berbanding apa yang beliau maklumkan kepada orang ramai.

Selain itu, Trump juga memberitahu Woodward bahawa Covid-19 lebih berbahaya daripada penyakit selesema.

Tidak lama selepas temuramah itu, Trump mendakwa virus tersebut berada dalam kawalan dan bilangan kes akan turun kepada sifar tidak lama lagi. Malahan, beliau juga ‘sanggup menipu’ dengan mengatakan selesema lebih berbahaya daripada Covid-19.

Membalas dakwaan buku tersebut, Trump berkata beliau mahu mengelakkan sebarang situasi panik dalam kalangan rakyat AS berhubung wabak itu.

“Kami mahu menunjukkan keyakinan, kami mahu menunjukkan kekuatan,” ujar Trump. Tambah Trump, buku tulisan Woodward itu lebih bersifat politikal.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar White House, Kayleigh McEnany berkata, Trump tidak pernah mengambil mudah mengenai wabak itu dan Trump benar-benar serius untuk melawan wabak berkenaan.

Sementara itu, calon parti Demokrat, Joe Biden menerusi Twitternya berkata, Trump telah mengkhianati rakyat AS menerusi perbuatannya itu.

Kes kematian akibat Covid-19 di AS sudah mencecah lebih 190,000 mangsa setakat ini.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat