Tuduhan Terhadap Goldman Sachs Ditarik Balik

421

Pendakwaan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entiti Asia milik syarikat itu berkaitan penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Goldman Sachs bersetuju membayar sebanyak AS$3.9 bilion kepada Malaysia bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berhubung tiga urus niaga bon membabitkan 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

Goldman Sachs yang beroperasi di London, Hong Kong dan Singapura telah mengaku tidak bersalah pada Februari lalu dan bank berkenaan berulang kali menafikan terlibat dalam skandal 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik balik kesemua empat pertuduhan yang sebelum ini dibuat terhadap Goldman Sachs.

Berdasarkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia, Goldman Sachs bersetuju memulangkan semula AS$2.5 bilion dalam bentuk tunai dan aset sebanyak AS$1.4 bilion yang dirampas di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya 6 negara termasuk Switzerland dan Singapura membuka kertas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan rasuah terhadap 1MDB sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa pegawai tertinggi dibicarakan.

Pada Julai lalu, Najib didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun namun Najib terus menegaskan beliau tidak bersalah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat