Tuju Setia Sasar RM56 Juta Daripada IPO

873

Syarikat perkhidmatan pembinaan, Tuju Setia Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei kelak, merancang untuk mengumpulkan RM56 juta daripada tawaran awam awal (IPO).

Menerusi satu kenyataan sempena pelancaran propektusnya hari ini, syarikat itu mengatakan IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 80 juta saham baharu dengan harga 70 sen sesaham, bersama dengan tawaran penjualan 27 juta saham sedia ada.

Daripada jumlah yang disasarkan, RM32 juta akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal syarikat bagi membeli mesin dan peralatan pembinaan baharu serta perisian sistem permodelan maklumat (BIM) untuk meningkatkan aktiviti reka bentuk serta pembinaan.

Selain itu, syarikat tersebut akan memperoleh tanah dan membina kemudahan penyimpanan baharu untuk organisasi serta penggunaan mesin dan peralatan yang lebih baik dan meningkatkan kecekapan kerja-kerja penyelenggaraannya.

Sementara itu, RM19 juta lagi akan diperuntukkan untuk modal kerja dan baki RM5 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.

Bercakap pada taklimat maya hari ini, Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, IPO akan meningkatkan kecekapan teras semasa syarikat berkenaan serta menambah keupayaannya dalam membina bangunan pencakar langit, reka bentuk serta pembinaan hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan.

“Rekod Tuju Setia sebagai kontraktor utama dan pemaju pilihan dibentuk berdasarkan nilai-nilai teras kami dalam memilih pelanggan yang mempunyai reputasi baik, mempunyai kepakaran teknikal yang kuat dan mencapai pentauliahan berkualiti. Asas yang kuat ini membolehkan Tuju Setia bertahan walaupun pada tahun 2020 yang mencabar.

“IPO ini akan mendorong pertumbuhan kami yang seterusnya kerana dana yang diperoleh akan difokuskan kepada mengembangkan kecekapan pembinaan teras kami serta meletakkan kami di tempat yang terbaik untuk melaksanakan projek baharu daripada nilai tender kami sekitar RM4 bilion,” ujarnya.

Tuju Setia akan menjadi syarikat pertama yang tersenarai di Pasaran Utama tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat