Tumpuan Pasaran Terarah Pada Mesyuarat Polisi Bank Pusat Australia Hari Ini

437

Dolar Amerika kembali didagangkan kukuh pada permulaan dagangan suku tahun ketiga bermula Julai semalam berikutan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Xi Jinping dari China memberikan keputusan yang positif terhadap pasaran.

Kedua-dua pemimpin ekonomi gergasi tersebut bersetuju untuk gencatan perdagangan di mana serangan tarif terbaru dihentikan dan mereka dilaporkan akan mengadakan rundingan semula dalam usaha menjernihkan kembali ketegangan yang berlaku.

Namun, matawang safe-haven Yen menerima tempias ekoran sentimen positif tersebut apabila pelabur mula beralih dari aset yang lebih selamat kepada aset yang berisiko dan memberikan pulangan yang lebih tinggi. Oleh itu, permintaan terhadap matawang Yen kembali menurun semula memberi kesan ke atas kelemahan nilai Yen dalam pasaran semasa.

Data PMI perkilangan tinjauan ISM di Amerika Syarikat menyokong dagangan USD apabila angka yang dikeluarkan semalam positif dengan bacaan sedikit tinggi berbanding penurunan yang dijangkakan oleh pasaran.

Sementara data PMI perkilangan di zon Eropah semalam dilihat sedikit rendah berbanding bacaan sebelum ini. Bacaan menunjukkan penguncupan lima bulan berturut-turut dalam aktiviti perkilangan berikutan terkesan oleh ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan politik selain penurunan pada industri auto. Pengeluaran, pesanan baru dan eksport turut merosot.

Ini memberikan petunjuk penting buat dagangan dolar Euro. Dengan data-data yang mempengaruhi kadar inflasi itu, Euro dijangka akan terus berada dalam kelompok dagangan yang berisiko untuk awal suku tahun ketiga.

Dagangan dolar Australia pula dijangka tidak mampu memanfaatkan sentimen pasaran yang positif berikutan masih terbeban pada faktor fundamental bank pusat yang dovish.

Tumpuan pasaran pada jam 12.30 tengahari hari ini akan terarah pada keputusan mesyuarat polisi monetari oleh Reserve Bank of Australia (RBA) untuk penetapan kadar faedah. Pasaran menjangkakan kadar faedah berkemungkinan akan diturunkan lagi dari 1.25% kepada 1.00% untuk merekodkan sejarah kadar terendah terbaru kali ini.

Berkemungkinan juga bank pusat akan mengekalkan kadar faedah namun dijangka komen susulan oleh Gabenor masih bernada dovish berdasarkan data-data ekonomi Australia yang masih lemah. Pasaran juga sudahpun menyerap harga ke arah jangkaan penurunan kadar tersebut dan dapat dilihat dagangan Aussie yang sudah mula mencatatkan kejatuhan sejak semalam.

Pound Sterling juga kekal diniagakan lemah dalam pasaran dengan ketiadaan laporan terbaru yang menggerakkan matawang British tersebut. Risiko masih terarah pada ketidaktentuan politik di Britain dalam tempoh proses penggantian pemimpin yang baru.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat