Tuntutan Beijing Di Laut China Selatan Ditentang Oleh Amerika Syarikat

573

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo meningkatkan tekanan terhadap China berhubung isu pertikaian tuntutan Laut China Selatan oleh Beijing.

Pompeo mengatakan dalam satu kenyataan bahawa Amerika Syarikat menolak semua tuntutan China di luar 12 batu nautika wilayah yang dipertikaikan di sekitar Kepulauan Spratly.

Ini termasuk tuntutan Beijing ke atas perairan di sekitar Vanguard Bank di luar Vietnam, Luconia Shoals di Malaysia, kawasan dalam zon ekonomi eksklusif Brunei dan Natuna Besar di Indonesia.

Jelas Pompeo lagi, tuntutan Beijing di Laut China Selatan adalah sama sekali tidak sah, dan tindakan Beijing membuli beberapa negara lain dengan mengawal perairan yang dipertikaikan itu juga salah.

Amerika juga dikatakan akan menyokong negara-negara Asia Tenggara yang terlibat dengan pertikaian itu untuk melindungi hak kedaulatan mereka, sejajar dengan hak dan kewajiban mereka di bawah undang-undang antarabangsa.

Tekanan daripada AS muncul di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara dua negara itu terutama dalam isu perdagangan, wabak pandemik Covid-19, hak asasi manusia di Hong Kong dan Xinjiang.

Bagi bertindak balas kepada kenyataan Pompeo itu, kedutaan China di Washington DC mengatakan bahawa jabatan negara AS sengaja memutarbelitkan fakta dan undang-undang antarabangsa.

Tambahnya lagi, Amerika sengaja memperbesarkan isu di rantau ini dan berusaha untuk mencetuskan perselisihan antara China dan negara-negara lain yang terlibat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat