Unjuran ‘Overweight’ Untuk Sektor Ini

322

AmInvestment Research menjangkakan momentum jumlah jualan kenderaan yang kukuh akan berterusan sepanjang separuh pertama tahun ini, disokong oleh lanjutan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dari 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Pada Februari lalu, sektor automotif mencatatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang baik sebanyak 42,800 unit, didorong terutamanya oleh jumlah pengunjung yang meningkat ke bilik pameran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat di kebanyakan negeri di seluruh negara.

“Kami yakin pengecualian SST akan terus mendorong minat belian terhadap kenderaan penumpang, terutamanya untuk jenama nasional, Proton dan Perodua,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

“Kami menjangkakan TIV Mac 2021 akan lebih tinggi dari segi bulan ke bulan disokong oleh perkhidmatan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disambung semula untuk semua jenis transaksi kenderaan.

“Kami mengekalkan pendirian ‘overweight’ kami ke atas sektor automotif dengan unjuran TIV tidak berubah sebanyak 575,000 unit pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan pelancaran baharu seperti Perodua ATIVA, Proton X50, Honda City dan Nissan Almera dapat membantu memacu jualan bersama dengan tunggakan tempahan dan terus didorong oleh lanjutan pengecualian SST hingga 30 Jun, promosi bermusim serta lebih banyak pelancaran baharu dijangka pada separuh kedua tahun ini.

“Secara keseluruhannya, 2021 berpotensi menjadi tahun yang lebih baik bersama dengan program insentif yang lebih baik di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, impak positif daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah-langkah awal yang mengurangkan impak Covid-19.

“Kami melihat bahawa jangkaan pemulihan pertumbuhan global dan impak daripada rangsangan fiskal yang besar kepada ekonomi domestik akan membawa kepada unjuran peningkatan semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5% pada tahun ini,” jelasnya dalam nota berasingan hari ini.

Kenanga Research turut mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor tersebut dengan sasaran TIV 2021 sebanyak 585,000 unit.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat
d@1712822068 -->