US Dolar Kembali Bergerak Lemah Semula? Ini Sebab Yang Anda Perlu Tahu

1,167

Matawang US dolar kembali bergerak lemah dalam pasaran pada sesi New York semalam berikutan pengumuman oleh Federal Reserve (Fed) untuk pembelian bon korporat persendirian dalam pasaran sekunder (secondary market).

Hal ini telah mencetuskan sentimen risk-on yang menyokong lonjakan pada pasaran saham US, manakala dagangan safe-haven termasuk US dolar kembali menyusut.

Fed mengatakan pembelian bon tersebut akan bermula pada Selasa melalui fasiliti kredit korporat pasaran sekunder (SMCCF), yang merupakan salah satu fasiliti kecemasan yang dilancarkan baru-baru ini oleh bank pusat US sebagai langkah pengawalan selepas pandemik coronavirus melanda.

Namun begitu, pasaran masih lagi dibelenggu oleh kebimbangan terhadap gelombang virus kedua. China telah kembali memperkenalkan semula langkah sekatan di beberapa kawasan di Beijing yang dilaporkan sebagai kluster terbesar jangkitan sejak Februari.

Di Amerika Syarikat pula, kes jangkitan terbaru dilaporkan mencecah angka 25,000 pada Sabtu.

Indeks US dolar yang mengukur matawang utama tersebut catat penurunan 0.47%. Berbanding Euro, US dolar menyusut 0.52% manakala berbanding Pound pula penurunan dicatatkan sekitar 0.36%.

Matawang Euro dan Pound pamer pergerakan positif selepas disokong oleh hasil perbincangan yang konstruktif dalam rundingan Brexit EU-UK semalam.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk momentum baru dalam mencapai persetujuan perjanjian pada penghujung musim panas nanti. Namun begitu, tempoh peralihan Brexit sah tidak akan dilanjutkan dan berakhir pada 31 Disember 2020.

Perdana Menteri UK Boris Johnson dalam kenyataan beliau menyatakan tidak ada sebab untuk rundingan gagal diselesaikan pada Julai. Beliau tidak mahu rundingan terus berpanjangan sehingga musim luruh atau musim sejuk, walapun mungkin Brussels berminat.

Dagangan Pound berbanding USD telah mencatatkan lonjakan harga sekitar 150 pips setakat berakhir sesi New York.

Sesi pasaran Asia pada Selasa akan memberi tumpuan terhadap minit mesyuarat bank pusat Australia (RBA) serta keputusan mesyuarat polisi bank pusat Jepun (BOJ).

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat