USD Sudah Pulih? Ini Yang Trader Perlu Tahu Pada Pembukaan Disember

900

Menutup dagangan pada November semalam, mata wang US dolar berjaya paparkan pemulihan namun kekal mencatatkan kerugian bulanan terbesar untuk tempoh 1 tahun.

Selepas data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dipantau pada Rabu lalu, tumpuan diberikan pula kepada beberapa data yang diterbitkan di sesi New York semalam.

Data tuntutan faedah pengangguran AS untuk minggu sebelum ini catatkan peningkatan menghampiri angka ramalan iaitu pada 218,000.

Sementara bacaan indeks perbelanjaan peribadi pengguna AS untuk Oktober tepati ramalan pada 0.2% menurun daripada bulan bulan sebelumnya 0.3% dan merupakan bacaan terendah sejak Julai 2022.

Manakala bacaan tahunan menunjukkan kejatuhan ke paras 3.5% berbanding 3.7% sebelumnya.

Walaupun bacaan data menunjukkan tekanan buat ekonomi AS, namun US dolar berjaya paparkan pengukuhan pada sesi terakhir untuk November semalam.

Seperti diberi amaran oleh penganalisis pasaran, para pemain pasaran dilihat mengambil keuntungan (profit-taking) pada dagangan terdahulu menyaksikan kerugian US dolar telah dikurangkan semula menjelang pembukaan Disember.

Tumpuan pelabur untuk dagangan penutup minggu ini akan terarah pula kepada data tinjauan ISM sektor pembuatan AS yang akan diterbitkan di sesi New York sementara ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell akan diberikan perhatian pada hujung minggu.

Mengiringi pengukuhan US dolar ketika ini, indeks dolar (DXY) paparkan peningkatan ke paras 103.50 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS yang susut ke sekitar 4.25% telah meningkat kembali capai 4.36%.

Perkembangan pasaran komoditi, OPEC+ dilaporkan capai persetujuan untuk mengurangkan lagi pengeluaran minyak mentah pada suku pertama 2024.

Harga minyak melonjak seketika selepas keputusan mesyuarat tersebut semalam namun dilihat kembali menjunam ketara semula.

Sementara dagangan emas pula kekal perlahan di bawah paras $2,050 yang dicapai pada Rabu lalu, yang merupakan rekod tertinggi sejak Mei.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat