USD Terhuyung-hayang Selepas Kejutan Powell

603

Sesi Eropah menyaksikan dagangan US dolar kekal mempamerkan pergerakan terbatas selepas tergelincir pada minggu lalu disebabkan petunjuk dovish oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell.

Pada Jumaat lalu, Powell memberitahu persidangan bank pusat di Washington bahawa Fed mungkin tidak perlu menaikkan kadar faedah seperti yang sepatutnya disebabkan keadaan kredit yang mengetat.

Hal ini menyebabkan pelabur mengurangkan jangkaan untuk melihat kenaikan kadar pada mesyuarat polisi FOMC bulan Jun.

Bagaimanapun, laporan minit mesyuarat FOMC yang bakal dikeluarkan pada minggu ini akan diteliti terlebih dahulu oleh pelabur untuk petunjuk lebih jelas mengenai pandangan penggubal dasar Fed.

Sementara itu, pelabur juga terus mengikuti perkembangan dala m rundingan siling hutang Amerika Syarikat yang akan bersambung pada hari ini antara Presiden Joe Biden dan pegawai tertinggi Republikan.

Pergerakan mata wang pada awal minggu tidak banyak memaparkan perubahan dengan harga bergerak dalam julat yang kecil di tengah-tengah ketiadaan data ekonomi utama.

Dagangan yang lebih aktif mungkin dapat dilihat pada sesi New York, ditambah dengan pembukaan pasaran saham Wall Street.

Euro dan pound kekal didagangkan pada sekitar harga yang sama walaupun berlaku turun naik pada sesi terdahulu.

Dolar Aussie pula sedikit susut, manakala dolar New Zealand diperdagangkan mendatar dengan pasaran kini lebih berhati-hati menuju mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada hari Rabu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat