Utusan Teruskan Operasi, Harga Akhbar Dinaikkan 50 sen

432

Utusan Melayu (Malaysia) tidak akan ditutup dan meneruskan penerbitan Utusan Malaysia serta Kosmo dengan meningkatkan harga akhbar sebanyak 50 sen.

Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Pengerusi Eksekutif Utusan menyatakan operasi syarikat tersebut tidak akan dihentikan walaupun digugat oleh masalah kewangan yang meruncing.

Tambah beliau lagi, jika mengambil kira tentang kerugian, syarikat tersebut sepatutnya sudah ditutup 10 tahun lepas namun dengan bantuan daripada subsidi daripada kerajaan, ia masih bertahan. Utusan juga telah banyak memberi sumbangan kepada negara sepanjang 80 tahun syarikat tersebut beroperasi.

Antara langkah yang diambil oleh pihak Utusan adalah menaikkan harga akhbar sebanyak 50 sen dan melalui peningkatan ini, kira-kira RM2.3 juta diharapkan dapat dijana bagi mengurangkan defisit bulanan semasa sebanyak RM3 juta kepada RM750,000.

Selain itu, bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi, kandungan akhbar yang menarik dan jumlah pelanggan e-Paper Utusan perlu ditingkatkan. Beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada Utusan dengan membeli akhbar serta melanggan e-Paper.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak menyatakan penyelesaian pembayaran gaji tertunggak dan VSS akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan walaupun tidak ada tarikh tetap ke atas penyelesaian tersebut.

Menurut beliau, proses penjualan kilang percetakan Utusan di Bangi berjumlah RM60 juta juga sedang dijalankan bagi menyelesaikan masalah gaji dan bayaran VSS.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, saham Utusan akan digantung berkuat kuasa 28 Ogos dan jika tidak ada rayuan terhadap penyahsenaraian dilakukan sebelum 27 Ogos, saham tersebut akan dinyahsenaraikan pada 30 Ogos.

Penyahsenaraian tersebut akan dilaksanakan berikutan kegagalan Utusan memenuhi keperluan Bursa Malaysia untuk meningkatkan status PN17.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat