Wabak Selesema Babi Di China Bakal Jadi Pandemik?

969

Para saintis didakwa telah mengenalpasti sebuah wabak selesema yang berpunca daripada babi di China. Lebih malang lagi, ianya dikhabarkan berpotensi untuk menjadi pandemik! Adakah dunia akan berhadapan dengan wabak pandemik kedua tidak lama lagi?

Selain itu, wabak tersebut dikenali sebagai selesema babi dan telah muncul pada tahun 2009 hingga dikategorikan sebagai selesema pandemik global pertama dalam tempoh 40 tahun.

Seterusnya, para saintis telah pun menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal sains Amerika Syarikat, Prosiding Akademi Sains Nasional pada hari Isnin. Ianya merupakan strain selesema baru, yang dikenali sebagai “G4 EA H1N1”. Di samping itu wabak tersebut adalah variasi selesema babi dan termasuk genotip “G4” yang telah menjadi dominan pada populasi babi sejak 2016.

Tambahan daripada itu, ianya dianggap membimbangkan dan berpotensi untuk menjadi pandemik. Hal ini demikian kerana para saintis yang mengkaji virus selesema pada populasi babi antara 2011 dan 2018, menyatakan bahawa sekitar 10% pekerja industri babi yang menjalani ujian di China telah terdedah kepada virus itu bahkan kadar jangkitan itu meningkat dalam kalangan pekerja yang lebih muda, berusia 18 hingga 35 tahun. Oleh itu, ianya jelas menunjukkan bahawa virus G4 EA H1N1 yang dominan telah mencetuskan peningkatan jangkitan dalam kalangan manusia.

Sehubungan dengan itu, pemantauan ketat terhadap populasi babi dan para pekerja dalam sektor berkenaan perlu segera dilakukan.

Untuk pengetahuan semua, wabak selesema babi pertama kali dikesan di Mexico pada tahun 2009 dan ianya dikategorikan sebagai salah satu daripada virus selesema bermusim serta termasuk dalam program vaksin selesema tahunan. Namun begitu, vaksin tersebut dikatakan tidak memberi perlindungan terhadap virus G4.

Menurut Profesor Kin-Chow Chang, salah seorang saintis yang terlibat dalam kajian ini dan bekerja di Universiti Nottingham di UK, wabak tersebut perlu dititikberatkan meskipun belum mencapai tahap yang serius kerana ianya berpotensi untuk menjadi wabak berjangkit dan berbahaya.

Anda mungkin juga berminat