Wanita Ini Letak Jawatan Sebagai Pengurus Syarikat Untuk Ceburi Forex Trading

1,270

Valeria Bednarik yang berasal dari Argentina membesar dalam sebuah keluarga yang menganggap kerjaya dalam bidang perubatan dan perakaunan sebagai masa depan yang cerah. Oleh yang demikian, beliau telah menamatkan pengajiaannya di Universidad Catolica del Salvador dan memperoleh kelulusan sebagai seorang akauntan.

Hakikatnya, beliau amat meminati bidang kewangan akan tetapi kerjayanya hanya berfokus kepada cukai dan pengurusan kos.

Oleh yang demikian, Bednarik memutuskan untuk meletakkan jawatannya sebagai pengurus besar di salah sebuah syarikat teknologi kecil dan menceburi bidang forex trading.

Malangnya, beliau telah ditipu oleh satu Skim Ponzi yang melibatkan 11,000 mangsa di Afrika Selatan. Gara-gara serik ditipu, Bednarik mula serius untuk mempelajari tentang forex trading.

Dengan semangat yang baru, beliau telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang pelaburan di Trader College LLC. Pada peringkat awal pengajiannya, beliau telah diingatkan bahawa hanya 4 daripada 100 orang pelajar yang mampu untuk bertahan dalam kelas tersebut tetapi, beliau tidak mengendahkan kenyataan tersebut bahkan tidak mempercayainya.

Lama-kelamaan, terdapat ramai rakannya yang menarik diri kerana bidang berkenaan menuntut kerja keras dan komitmen yang tinggi.

Setelah menamatkan pengajiannya, beliau telah tinggal dan berkhidmat di kolej tersebut untuk sementara waktu. Selain itu, beliau turut serta dalam Mol FX, iaitu sebuah pusat pengajian forex yang berpusat di Argentina dan ditubuhkan oleh salah seorang bekas pelajar Trader College.

Tidak lama kemudian, Bednarik meninggalkan kedua-dua institusi berkenaan dan memilih untuk menjadi forex trader sepenuh masa. Beliau cenderung untuk melabur buat dirinya dan dalam masa yang sama dapat mengajar orang lain berkenaan forex trading. Oleh disebabkan kecenderungannya itu, beliau telah memperoleh sebuah jawatan dalam FX Street.

Di samping itu, beliau telah mendedahkan beberapa rahsia kejayaannya sebagai seorang forex trader. Bednarik menekankan analisis teknikal sebagai kunci dalam menilai pasaran. Forex trader perlu mahir dalam menggunakan analisis ini!

Seterusnya, Bednarik banyak belajar melalui kesilapannya. Kerugian terbesar yang pernah dialaminya menjadi pengajaran berharga buat dirinya. Hal ini kerana Bednarik telah kerugian lebih daripada $2,000 melalui satu pelaburan yang merangkumi 50% daripada keseluruhan modalnya.

Oleh itu, beliau terpaksa mengambil masa selama 4 bulan untuk pulih daripada kerugian tersebut. Beliau turut menyimpulkan bahawa detik kegembiraan buat seorang trader adalah apabila beliau berjaya mendisiplinkan diri dalam mempraktikkan segala perancangan dan strategi dan bukannya ketika memperoleh keuntungan.

Akhir sekali, Bednarik menyatakan bahawa situasi pasaran amat mempengaruhi pergerakan harga. Jadi, forex trader perlu sentiasa peka dan cakna mengenai hal ini.

Kesimpulannya, kita mestilah sentiasa belajar daripada kesilapan yang lalu agar tidak mengulanginya lagi. Benarlah kata pepatah yang menyebutkan bahawa pengalaman adalah guru yang paling berharga dalam kehidupan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat