X50 ‘Penyelamat’ Proton, Potensi Meningkat Saham DRB-Hicom

292

CGS-CIMB Research mengekalkan cadangan ‘add’ untuk DRB-Hicom Bhd dengan harga sasaran sebanyak RM2.35 selepas meramalkan penjualan Proton X50 akan memacu pelan pemulihan Proton Holdings Bhd yang dimiliki oleh syarikat tersebut.

DRB-Hicom memegang 51% saham dalam Proton.

Menurut penganalisis CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam dalam notanya semalam, beliau menjangkakan X50 akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi pembuat kenderaan nasional itu memandangkan syarikat terbabit menawarkan sesuatu dalam pasaran baharu.

Beliau juga meramalkan X50 akan menjadi pemangkin kepada strategi pertumbuhan eksport kepada Proton selepas syarikat itu mengumumkan pelannya untuk mengeksport kenderaan terbabit ke pasaran Thailand.

Proton melancarkan X50 menerusi saluran media sosialnya semalam dengan harga jualan bermula dari RM79,200 untuk variasi Standard sehingga RM103,300 untuk variasi 1.5 TGDi Flagship.

“Kami merasakan harga tersebut masih lagi selaras dengan jangkaan kami. Walaupun model Flagship itu sedikit tinggi harganya berbanding ramalan yang diletakkan oleh kami iaitu RM100,000 namun ia masih menawarkan diskaun sebanyak 10% atau RM12,000 berbanding Honda HR-V yang ketika ini peneraju pasaran bagi SUV dalam segmen B,” kata beliau.

Sebanyak lebih 23,000 tempahan telah diterima sejak 20 September lalu dan 70% daripadanya adalah variasi Flagship dan Premium.

Saham DRB-Hicom ketika ini melonjak dua sen atau 1.03% kepada RM1.97, menjadikan permodalan pasarannya bernilai RM3.77 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat