Minyak mentah (crude) berada dalam dagangan ‘sideway’ Khamis semalam, dengan pergerakan sekitar $1.20 setong dari paras tertinggi harian sekitar $46.05 setong ke serendah $44.85 setong; manakala minyak mentah (brent) pula bergerak dari paras tertinggi harian sekitar $48.95 setong ke serendah $47.90 setong; setelah didorong oleh pembelian harga murah berikutan kejatuhan mendadak 3 hari sebelumnya, walaupun penganalisis berkata pasaran masih terikat dengan lebihan bekalan komoditi itu.
Satu laporan yang dikeluarkan menunjukkan peningkatan yang lebih besar daripada jangkaan di stok simpanan minyak mentah AS; sekaligus mencetuskan kebimbangan baru tentang lebihan global yang menekan harga minyak ke paras yang lebih rendah untuk selama lebih daripada satu tahun. Kenaikan itu sejajar dengan kejatuhan mengejut sebelum itu selepas Pentadbiran Maklumat Tenaga AS berkata inventori minyak mentah komersial AS melonjak sebanyak 8 juta tong kepada 476.6 juta tong pada minggu lepas.
[adrotate group=”6″]
Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah pun bermesyuarat dengan pengeluar bukan OPEC, termasuk Rusia dan Mexico, untuk membincangkan pengurangan pengeluaran; tetapi tiada persetujuan telah dicapai, dengan Arab Saudi yang tidak berminat untuk mengurangkan pengeluaran dan itu telah pun menutup pintu perbincangan.