Pound Dollar berada dalam dagangan tidak menentu Jumaat lalu, selepas turun naik dari paras tertinggi harian sekitar $1.4542 ke serendah $1.4422 dalam masa sejam ketika laporan pekerjaan sektor bukan perladangan (NFP) AS. Secara keseluruhannya Pound kehilangan permintaan, apabila menutup lebih rendah dari pembukaan Jumaat lalu, sekitar $1.4424.
Di pasaran UK, penduduk bandar London keluar mengundi untuk Datuk Bandar yang baru dan menunggu keputusan yang memeranjatkan. Buat pertama kalinya dalam sejarah, London menerima seorang Datuk Bandar beragama Islam – Encik Sadiq Khan. Encik Sadik yang menjadi ahli parlimen kawasan Tooting akan melepaskan kawasan tersebut untuk memimpin London. Mendapat undi sebanyak 1,310,143, beliau mendapat undian peribadi terbanyak dalam sejarah politik UK.
UK yang kini berdepan dengan isu ‘Brexit’ dilihat dalam persimpangan sejarah. Seandainya kempen ‘keluar’ memenangi undian referendum pada 23 Jun ini, UK bakal kehilangan pasaran untuk eksportnya dan kemungkinan juga sokongan modal untuk menampung defisit ekonominya. Ramai penganalisa menjangka Pound boleh jatuh ke serendah $1.20 sekiranya UK keluar dari EU. Kempen yang sengit membuatkan keadaan bertambah tidak menentu.
Di pasaran hadapan Chicago, kontrak Pound untuk bulan Jun menutup sekitar $1.4436 Jumaat lalu, dengan permintaan sebanyak 1,529 kontrak baru dan ‘open interest’ sebanyak 240,596. Spekulator dilihat mengurangkan kontrak jualan dari 67,606 kepada 56,878 kontrak dalam laporan ‘komitmen trader’ yang terbaru minggu lepas.