Harga emas melonjak lebih $13.00/oz Selasa semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1,218.15/oz sebelum menutup sekitar paras $1,215.20/oz; setelah pasaran mula mengambil untung jualan bagi menutup buku dagangan bulan Mei. Harga emas telah jatuh lebih $104.00/oz sejak dari awal bulan Mei lepas, terkesan dari pada sentimen kenaikan kadar AS yang dijangka datang seawal mesyuarat FOMC pada 15-16 Jun ini.
Harga emas telah berada di bawah tekanan selepas Feds mengeluarkan minit mesyuarat FOMC bulan April, yang menunjukkan Jawatankuasa Feds percaya bahawa ekonomi AS boleh bersedia untuk satu lagi kenaikan kadar. Kadar AS kekal terlalu rendah untuk terlalu lama boleh menyebabkan ketidakstabilan kewangan. Presiden Feds cawangan St. Louis menambah bahawa jangkaan pasaran yang meningkat untuk kenaikan kadar adalah lebih baik.
Indeks Dollar, yang mencerminkan kekuatan relatif Dollar AS berbanding sekumpulan 6 mata wang utama lain, telah meningkat sehingga 0.26%, pada sekitar paras 95.85 mata semalam, selepas mencapai 95.95 pada sehari sebelumnya – paras tertinggi yang dicapai sejak 29 Mac, apabila ia mencecah paras 96.23 mata. Indeks ini telah meningkat lebih 2.90% sehingga bulan Mei.
Dollar yang kukuh biasanya menekan permintaan untuk emas dan lain-lain komoditi yang disebut harga dalam Dollar, kerana ianya cenderung untuk menjadi lebih mahal bagi pemegang matawang lain. Walau bagaimanapun, kebarangkalian kenaikan kadar pada mesyuarat FOMC Jun depan menurun dari 31.9% kepada 22.5% dalam laporan terbaru FedWatch CME Group semalam, selepas laporan Chicago PMI dan keyakinan pengguna AS menurun dan meleset dari jangkaan.