Harga minyak berada dalam dagangan bercampur-campur Khamis semalam, setelah pasaran memberikan reaksi kepada kenyataan Presiden ECB Mario Draghi yang mengatakan tentang kemungkinan penurunan kadar seterusnya sebelum hujung tahun ini. Dalam pada itu, harga minyak mendapat sokongan belian selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengeluarkan kenyataan tentang keseimbangan pasaran minyak yang mungkin dicapai pada tahun ini atau hujung tahun depan.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Jun turun naik dari paras tertinggi harian sekitar $44.48 setong ke serendah $43.08, sebelum menutup sekitar paras $43.78 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Jun turun naik dari paras terendah harian sekitar $44.62 setong ke setinggi $46.18, sebelum menutup sekitar paras $45.26 setong.
[adrotate group=”6″]
Pengarah Eksekutif IEA, Faith Birol yang mengadakan sidang akhbar selepas bertemu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berkata bahawa beliau menjangkakan penurunan sebanyak 700 ribu tong sehari dalam pengeluaran di kalangan pengeluar bukan OPEC, satu penurunan yang terbesar dalam bekalan dalam masa 25 tahun. IEA juga menjangka peningkatan permintaan dari China dan India akan mengimbangkan lebihan bekalan sedia ada, yang melebihi 1 juta tong sehari.
“Apabila kami melihat kepada semua faktor fundamental – permintaan, pengeluaran, dan bekalan – kami percaya dengan ketiadaan sebarang kegawatan ekonomi, kita akan melihat pasaran minyak mencapai keseimbangan selewat-lewatnya pada 2017.” tambah beliau lagi. Hari ini laporan pelantar minyak AS dari Baker Hughes akan mendapat perhatian trader minyak, bagi mendapatkan pandangan pengeluaran di AS.