Harga minyak mentah kembali susut Selasa semalam, setelah pasaran dipenuhi pengambilan untung belian sejak pertengahan bulan lalu. Dalam pada itu, seorang penganalisis berpendapat perbincangan antara negara pengeluar minyak untuk menghadkan pengeluaran baru-baru ini, adalah petanda baik walaupun ianya mungkin tidak mencapai persetujuan.
“Arab Saudi, Russia dan Iran secara tidak langsung sedang berbincang sesama mereka, jadi kini pasaran mempunyai sesuatu permulaan untuk proses selanjutnya”, menurut Mike Wittner, Ketua Penyelidikan Komoditi AS di Societe General memberitahu kepada agensi berita CNBC semalam.
[adrotate group=”6″]
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran April susut lebih $2.30 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $31.20 sebelum menutup sekitar paras $31.40 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran April susut lebih $2.15 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $32.90 setong sebelum menutup sekitar paras yang sama.
Russia dan anggota OPEC berbincang mengenai kemungkinan menghadkan pengeluaran minyak minggu ini, tetapi Iran dilihat tidak bersedia untuk memberikan komitmen. Walau bagaimanapun, menteri minyak Iran, Bijan Zanganeh berkata Iran menyokong sebarang usaha untuk menstabilkan harga minyak.