Dollar CAD terus memacu naik untuk hari ketiga Selasa semalam, lebih 110 pips untuk ke paras tertinggi harian sekitar C$1.3133 sebelum menutup sekitar paras C$1.3090; setelah Loonie terus kehilangan sokongan belian apabila laporan pertumbuhan ekonomi Kanada yang terbaru semalam menunjukkan ekonomi menguncup pada -0.2% berbanding jangkaan kekal pada -0.1% seperti sebelumnya.
Pasaran masih dalam proses penyesuaian, selepas kenaikan harga minyak sepanjang bulan Mei lepas tidak membawa kepada kenaikan nilai Loonie. Malah kenaikan lebih $7 setong tersebut, membawa kepada lebih 700 pips pips kenaikan dalam kadar tukaran USD/CAD. Sentimen kenaikan kadar AS seawal mesyuarat FOMC pada 15-16 Jun ini, telah mengatasi kekuatan harga minyak yang sepatutnya membantu nilai Loonie.
Dengan laporan pertumbuhan ekonomi yang malap semalam, Kanada berkemungkinan menghadapi satu lagi penurunan kadar sekiranya keadaan ini berterusan. Penurunan harga minyak yang dilihat berkemungkinan dalam masa terdekat, boleh memburukkan lagi keadaan dan menjatuhkan nilai Loonie dengan lebih cepat, menurut penganalisis.
Apabila harga minyak memecahkan paras $50 setong, para trader mula menjual selepas pengeluaran di Nigeria dijangka akan kembali beroperasi dan Rusia telah mencapai paras pengeluaran tertinggi dalam beberapa bulan. Isu lebihan bekalan boleh kembali menghantui pasaran terutamanya dengan mesyuarat OPEC yang dilihat tidak akan mengurangkan pengeluaran lantaran pergeseran antara Arab Saudi dan Iran.