Dollar CAD berada dalam dagangan bercampur-campur Isnin semalam, naik turun dari paras terendah harian sekitar C$1.3020 ke paras tertinggi harian sekitar C$1.3093, sebelum menutup sekitar paras C$1.3045; setelah laporan Canadian Imperial Bank of Commerce (CIBC) mula mempengaruhi mood pasaran, ditengah-tengah harga emas yang terus merudum sejak dari awal bulan Mei.
CIBC dalam laporan terbarunya menjangka nilai CAD boleh jatuh ke serendah AS$0.73 menjelang September ini, sebelum pulih pada awal tahun depan. “Ketika ini C$1.00 lebih kurang pada AS$0.7675 atau AS$1.00 adalah sekitar C$1.3030, jadi dengan jangkaan kejatuhan 3 sen AS untuk 1 CAD, maka kadar tukaran USD/CAD dijangka pada sekitar C$1.37 pada September nanti” menurut analisis tersebut.
Analisis tersebut mengatakan kebakaran baru-baru ini di wilayah pengeluar minyak Alberta, Kanada telah menyebabkan aktiviti ekonomi setempat di Fort MacMurray lumpuh, terutamanya yang berkaitan dengan carigali minyak. Kerugian di anggarkan sekitar AS$1 billion dan jumlah tersebut adalah sekitar 0.33% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Alberta dan 0.06% dari GDP Kanada.
Malam ini Amerika Syarikat bakal melaporkan keyakinan pengguna yang dijangka meningkat dari 94.2 mata kepada 96.1 mata dan Kanada pula bakal melaporkan laporan GDP bulanan yang dijangka kekal stabil pada -0.1%. GDP Kanada menghadapi penguncupan buat pertama kali, sejak Ogos tahun lepas, pada laporan April lalu.